Tiga kesatuan kerja sambut baik, kemuka cadangan untuk SKBBK

Iklan
Abdul Halim, Thian Lai

SHAH ALAM - Tiga entiti kesatuan kerja menyambut baik pembentangan Rang Undang-Undang Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Antaranya Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Iklan
Iklan

Ketiga-tiga kesatuan turut memberikan cadangan berhubung penambahbaikan skim berkenaan bagi memastikan tiada pekerja yang layak tercicir daripada inisiatif tersebut.

Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, kadar caruman yang bakal dikenakan oleh PERKESO itu perlu dijelaskan dan diperhalusi dengan lebih teliti agar tidak melebihi kadar caruman 1.3 yang akan memberi beban tambahan kepada para pekerja.

Iklan

“UNI-MLC berpendapat cadangan itu merupakan satu pembaharuan bagi tujuan melindungi pekerja-pekerja bukan sahaja di dalam waktu kerja akan tetapi pada tempoh 24 jam.

“Sudah tentu pelbagai cabaran akan timbul semasa melaksanakan SKBBK kelak. Oleh yang demikian, semua pihak sepatutnya terima baik cadangan tersebut yang akan memberi manfaat bukan sahaja pada jangka masa pendek akan tetapi liputan untuk jangka masa akan datang,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Dalam pada itu, Presiden MTUC, Datuk Abdul Halim Mansor berkata, kerajaan digesa menetapkan tarikh kuat kuasa rasmi dan mekanisme pendaftaran mudah bagi skim itu.

“Isu birokrasi mestilah diminimumkan dan proses tuntutan perlu telus, cepat serta berpaksikan kepentingan pekerja.

“Tuntasnya, MTUC menyeru supaya Rang Undang-Undang SKBBK diluluskan tanpa penangguhan dan pelaksanaannya dipantau tanpa birokrasi remeh dengan penyertaan kesatuan sekerja.

“Kerajaan juga perlu mengiktiraf SKBBK sebagai hak asas pekerja, bukan sekadar pilihan atau manfaat tambahan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, selepas berbincang dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan menerima pandangan serta nasihat daripada menteri, MTUC turut bersetuju untuk diadakan perbincangan bagi perlaksanaan dan mekanisme terbaik.

“Ia bagi menentukan caruman selepas mengambil kira kepentingan bersama PERKESO dan pekerja agar pelaksanaan ini tidak menekan pendapatan pekerja,” menurutnya.

Sementara itu, Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, kadar caruman perlu kekal adil dan realistik bagi menjamin penyertaan menyeluruh, khususnya dalam kalangan kumpulan B40 dan M40, serta memastikan kelangsungan skim dalam jangka panjang.

“FMM juga menggesa agar ketelusan dan rundingan dengan pihak berkepentingan diteruskan dalam menentukan mekanisme caruman serta tahap manfaat terhadap pekerja.

“FMM menyokong struktur ini kerana ia praktikal, seimbang dan cekap dari segi pentadbiran, membolehkan pelaksanaan berjalan lancar tanpa memberi tekanan kewangan kepada perniagaan,” kata Thian Lai.