SHAH ALAM – Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA), Universiti Malaya (UM) menganjurkan Persidangan Antarabangsa Polisi Awam dan Kepimpinan (ICPPL 2025) yang akan berlangsung pada 3 hingga 5 November ini.
Pengarah Eksekutif INPUMA, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff berkata, persidangan kali pertama itu akan dirasmikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bermatlamat menghalusi perkembangan semasa, isu dan peluang bagi memperkasakan aspek polisi awam serta kepimpinan dalam memastikan pembangunan mampan.
Menurutnya, ia juga akan memberi fokus khusus untuk melihat kehadapan perkembangan terkini mengenai polisi awam, kepimpinan dan pembangunan lestari terutama mengambil kira megatrend global serta kesannya kepada pembangunan negara pada masa hadapan.
"Bertemakan Trend Mega dan Hala Tuju Masa Depan Dalam Polisi Awam, Kepimpinan dan Pembangunan Mampan, ICPPL 2025 merupakan perhimpunan luar biasa bagi pembuat dasar, cendekiawan, pemimpin industri dan penggubal polisi awam untuk terlibat dalam perbincangan berpandangan ke hadapan mengenai cabaran dan peluang mendesak yang membentuk tadbir urus, kepimpinan dan kemampanan dalam dunia yang pesat berkembang.
"Bagi tujuan itu, INPUMA mengundang tokoh-tokoh korporat, pembuat dasar dan pemimpin-pemimpin industri dari kedua-dua sektor awam dan swasta, dalam serta luar negara bagi berkongsi pandangan, kajian dan pengalaman masing-masing, yang kami yakin akan membantu kita dalam menggubal dasar dengan konstruktif dan membina," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambah Anis Yusal, negara memerlukan penggubal polisi dan pembuat dasar yang berwibawa, berkemahiran tinggi dan berpengetahuan luas dalam menggubal program dan dasar yang padu dan mantap.
Ujarnya, usaha kukuh perlu terus diambil dalam soal tersebut memandangkan setiap generasi mempunyai harapan, keperluan dan kehendak yang berbeza.
"Begitu juga cabaran dan peluang yang luas. Oleh itu kita perlu lahirkan penggubal dasar dan pembuat dasar yang berkaliber, yang akan menyokong kepimpinan negara, sekali gus membantu dalam pembangunan negara.
"Sebagai persidangan utama INPUMA, ICPPL 2025 diadakan untuk memahami trend mega atau trend besar global pada hari ini, dan kesannya terhadap tadbir urus dan pembangunan lestari dan memupuk dialog dan kerjasama yang bermakna antara ahli akademik, pembuat dasar dan pihak berkepentingan," ujarnya.
Menurutnya, ICPPL 2025 turut diadakan untuk menyerlahkan amalan terbaik dan strategi inovatif dalam kepimpinan dan dasar awam.
Malah, persidangan berkenaan juga akan membolehkan para hadirin mendapatkan pandangan baharu melalui ucaptama, perbincangan panel peringkat tinggi dan sesi rangkaian dinamik dengan pakar daripada pelbagai sektor.
"Para peserta juga akan berpeluang untuk memberi pandangan mereka melalui perbincangan meja bulat ala Dialog Langkawi," katanya.
Hari pertama ICPPL 2025 akan memberi tumpuan kepada dua ucaptama yang akan disampaikan oleh mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, Wakil Residen untuk Program Pembangunan PBB (UNDP) Malaysia, Singapura dan Brunei, Edward Vrkic dan diikuti forum yang akan dipengerusikan oleh Anis Yusal.
Ahli-ahli panel yang bakal hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tan Sri Zarinah Anwar; Profesor Undang-undang dan Pemegang Kursi Tunku Abdul Rahman di UM, Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi; Profesor Dr Ora-orn Poocharoen dari Universiti Chiang Mai dan Maisarah Feisal dari Sunway University Centre for Planetary Health.
Hari kedua pula memfokuskan wacana dasar awam dan hari terakhir melibatkan Pertandingan Dasar Sosial yang diadakan dengan kerjasama Institut Sosial Malaysia.