Mandur maut: 30 ekor gajah liar sering keluar cari makanan

Iklan
Lokasi laluan keluar dari rumah kongsi pekerja pembalakan di Felda Aring, Gua Musang.

KOTA BHARU – Kira-kira 30 ekor gajah liar dari Hutan Simpan Kekal Lebir, Gua Musang dikenal pasti sering menimbulkan konflik dengan manusia di beberapa kawasan sekitar termasuk Felda Aring 8, lokasi kejadian seorang mandur balak maut diserang haiwan itu malam Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, kumpulan gajah terbabit dikesan bergerak di kawasan hutan simpan berkenaan dan sering keluar ke kawasan kampung serta ladang berhampiran mencari sumber makanan.

Iklan
Iklan

“Sebelum kejadian serangan gajah itu, tiada aduan konflik diterima daripada lokasi berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati kawasan ladang dan penempatan rumah kongsi tersebut adalah baru dibuka serta dibina oleh sebuah syarikat balak,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Gajah Asia Elephas Maximus yang kerap menimbulkan konflik dengan manusia. Foto AFP

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa, Saidi Jahari, 43, maut dalam keadaan mengerikan akibat dipercayai dipijak gajah.

Iklan

Sebelum itu, enam pekerja balak termasuk mangsa tidur namun terjaga apabila terdengar bunyi dan menghidu bau gajah yang kuat.

Kawanan gajah menyerang kali pertama hingga mangsa patah kaki manakala pekerja-pekerja lain sempat menyelamatkan diri.

Beberapa jam kemudian, pekerja-pekerja kembali ke lokasi untuk membantu mangsa namun sekali lagi diserang gajah menyebabkan mereka lari semula ke hutan sebelum menemukan mangsa meninggal dunia di laluan keluar rumah kongsi apabila kembali ke lokasi.

Tangkap layar laporan Sinar Harian berhubung seorang mandur balak maut diserang gajah.

Menurut Mohamad Hafid, serangan itu melibatkan spesies gajah Asia Elephas maximus yang dipercayai berasal daripada kumpulan sama pernah menimbulkan konflik di kawasan berhampiran.

“Kumpulan ini juga dikenal pasti sering muncul di sekitar kampung dan ladang termasuk Kampung Belia, Kampung Pasir Linggi, Kampung Rahmat, Sungai Bayu, Sungai Lakit serta beberapa ladang pembalakan di sekitar Gua Musang,” katanya.

Mohamad Hafid berkata, bagi tempoh 2023 hingga 2025, Perhilitan Kelantan menangkap dan memindahkan sebanyak 64 gajah konflik di negeri ini melalui pelbagai operasi termasuk tembak halau, kawalan dan tangkap-pindah.

“Kami turut menasihatkan semua pengusaha ladang agar mengamalkan amalan pertanian baik bagi mengurangkan risiko konflik manusia-gajah.

“Antaranya pemasangan sistem pagar elektrik, pembinaan parit gajah di sempadan ladang serta memastikan kawasan tidak ditanam tidak dibiarkan semak,” katanya.