Keputusan Najib bebas atau bersalah akan diketahui sehari selepas Krismas

Iklan
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan 26 Disember bagi keputusan sama ada Datuk Seri Najib Tun Razak dibebaskan atau disabitkan kesalahan melibatkan dana RM2.3 bilion.

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Keputusan sama ada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, akan dibebaskan atau disabitkan kesalahan dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan diumumkan pada 26 Disember 2025.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang bersidang di Istana Kehakiman di sini pada Jumaat, turut menetapkan hujahan di akhir kes pembelaan pada 4 November ini.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pasukan pembelaan sepatutnya menyelesaikan hujahan lisan pada Jumaat, namun ditangguhkan sehingga Selasa minggu depan.

“Kes ini akan berlarutan hingga 4 November tapi saya akan menyampaikan keputusan pada 26 Disember ini.

Iklan

“Tarikh ialah pada `Boxing Day' iaitu sehari selepas sambutan Krismas,” kata hakim.

Perbicaraan kes berprofil tinggi ini, telah mengambil masa selama 303 hari termasuk 10 hari penghujahan di akhir kes pembelaan bermula 21 Oktober lalu.

Iklan

Seramai 50 saksi dipanggil dalam perbicaraan di peringkat pendakwaan yang berlangsung selama 235 hari, berakhir pada 30 Mei 2024 lalu.

Najib, 72, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Bekas Presiden UMNO itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram, antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi pengubahan wang haram, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.