PJ Watch bongkar 77 kes pembuangan sampah haram

Iklan
Mohamad Zahri (tiga dari kiri) bergambar pada Majlis Penyerahan Lori Pengurusan Kutipan Sampah Domestik dan Pembersihan Awam MBPJ pada Jumaat.

PETALING JAYA – Sebanyak 77 kes pembuangan sampah haram berjaya dikesan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menerusi sistem kamera litar tertutup (CCTV) mudah alih yang dipasang di beberapa lokasi panas sekitar bandar itu sejak awal tahun ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon berkata, inisiatif dikenali sebagai PJ Watch membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memantau aktiviti pembuangan sampah haram secara masa nyata sekali gus memudahkan tindakan segera diambil terhadap pesalah.

Iklan
Iklan

"Setakat ini daripada 48 lokasi panas dikenal pasti, sebanyak 16 kawasan telah dipasang CCTV mudah alih, manakala lokasi lain akan dipantau secara berperingkat mengikut keperluan dan aduan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Penyerahan Lori Pengurusan Kutipan Sampah Domestik dan Pembersihan Awam MBPJ di sini pada Jumaat.

Iklan

Menurut beliau, hasil daripada pemantauan itu juga, MBPJ turut mengesan 42 individu, tiga premis perniagaan dan 32 kenderaan.

“Sehingga kini, MBPJ sudah mengeluarkan 324 kompaun dengan hampir separuh daripadanya telah dijelaskan," ujar beliau.

Iklan

Mohamad Zahri menegaskan, langkah itu terbukti berkesan apabila jumlah kawasan sampah haram di Petaling Jaya berkurang daripada 48 kepada 43 lokasi setakat ini.

"Antara lokasi sampah haram dikesan iaitu di PJS 1/21a, Jalan SS 2/45, Jalan Jenjarum, Jalan PJU 1/34, Jalan 1/10 dan PJU 1a/3b.

"Selain itu, di Jalan 17/1, PJU 1a/18, Jalan PJS 6/3b, Jalan SS 7/2, Flat Impian Baiduri, Jalan 1/15, SS 3/29, PJS 5/26, SS 3/64 dan Jalan 17/13," jelasnya.

Mohamad Zahri berkata, selain tindakan kompaun, MBPJ turut melaksanakan pendekatan forensik iaitu meneliti bahan buangan yang mempunyai alamat atau maklumat individu untuk menjejak pelaku ke rumah mereka.

"Kalau jumpa kotak atau dokumen lama ada alamat, pegawai kita akan semak dan keluarkan kompaun terus.

"Kaedah ini berkesan untuk mendidik masyarakat supaya tidak membuang sampah sesuka hati," jelas beliau.

Beliau berkata, penggunaan CCTV turut membantu MBPJ memantau jumlah tenaga kerja kontraktor di tapak projek bagi memastikan kehadiran pekerja mencukupi seperti yang dijanjikan.

"Kadang-kadang projek lambat sebab tenaga kerja tak cukup, namun dengan adanya CCTV kita boleh pantau terus dari bilik kawalan dan arahkan tindakan segera,” jelasnya.

Tambahnya, lokasi CCTV itu juga akan dialihkan secara berkala bagi mengelakkan pelaku mengambil kesempatan di kawasan yang tidak dipantau.

"Kalau sesuatu kawasan dah stabil dan tiada aduan, kita akan alihkan kamera ke tempat lain yang ada masalah. Ini juga bagi mengawal kos operasi,” katanya.