JKDM kutip hasil RM57 bilion, lepasi sasaran dalam tempoh sembilan bulan

Iklan
Anis Rizana Istiadat Mengarak Gencana Diraja Sempena Ulang Tahun Ke-62 Penganugerahan Gelaran Diraja Kepada JKDM di Stadium Institut Penilaian Negara (Inspen) pada Jumaat.

KAJANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah melepasi sasaran pungutan semasa hasil negara berjumlah RM57 bilion berbanding jumlah ditetapkan Kementerian Kewangan (MoF) iaitu RM54.62 bilion pada tahun ini setakat September.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, jabatan sedang membuat penjajaran semula dan sedang bekerja keras agar sasaran ditetapkan MoF dapat dicapai hingga akhir tahun.

Iklan
Iklan

"Saya gembira sehingga 30 September lalu, hasil yang telah disasarkan sebelum Belanjawan 2026 berjaya melepasi sasaran.

"Unjuran bagi tempoh Januari hingga September ialah RM54.6 bilion namun pungutan semasa diperolehi RM57 bilion sekali gus lebihan RM2.38 bilion atau 104.36 peratus," katanya kepada pemberita selepas majlis Istiadat Mengarak Gencana Diraja Sempena Ulang Tahun Ke-62 Penganugerahan Gelaran Diraja Kepada JKDM di Stadium Institut Penilaian Negara (Inspen) di sini pada Jumaat.

Iklan

Bagaimanapun, Anis Rizana berkata, JKDM perlu membuat unjuran semula kerana sasaran baharu diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2026 ialah RM73.26 bilion bagi tempoh setahun ini.

Katanya, JKDM telah merangka beberapa program sejak awal tahun dalam menetapkan sasaran yang ditetapkan.

Iklan

"Kami sedang bekerja keras untuk capai sasaran baharu ini dan kita yakin dapat mencapainya," ujarnya.

Semasa berucap di majlis tersebut, kata Anis Rizana, penganugerahan gelaran Diraja kepada JKDM bukanlah sekadar pengiktirafan simbolik, tetapi merupakan lambang kepercayaan dan penghormatan tinggi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong terhadap peranan besar jabatan ini dalam mempertahankan kedaulatan ekonomi negara, menjamin keselamatan perdagangan serta menjaga kepentingan rakyat terutamanya setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

Jelasnya, peranan besar JKDM pernah ditegaskan sendiri oleh Bapa Kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang menyatakan bahawa pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia telah menjalankan tugasnya yang sempurna untuk memungut dan menjaga hasil-hasil kerajaan yang didapati daripada kastam dan eksais yang berjumlah lebih daripada 50 peratus jumlah hasil yang dipungut oleh Kerajaan Persekutuan pada setiap tahun.

"Kenyataan ini membuktikan bahawa sejak awal penubuhannya, JKDM telah menjadi tunjang utama dalam menjana pendapatan negara. Malah, peranan ini terus diperkukuh hingga ke hari ini," ujarnya.

Penganugerahan gelaran Diraja pada 29 Oktober 1963 merupakan pengiktirafan tertinggi negara terhadap sumbangan besar JKDM.