CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya memperoleh perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menghalang akaun Telegram Edisi Siasat dan Edisi Khas daripada menyiarkan kandungan berunsur mudarat.
MCMC dalam kenyataannya pada Jumaat memaklumkan bahawa keputusan mahkamah itu merupakan langkah penting dalam usaha berterusan memastikan ekosistem digital negara kekal selamat, bertanggungjawab dan seiring dengan kepentingan awam.
“Mahkamah turut memerintahkan penutupan sepenuhnya saluran Edisi Siasat dan Edisi Khas, serta mana-mana saluran lain yang mempunyai persamaan dari segi kandungan atau modus operandi,” menurut kenyataan itu.
Perintah injunksi tersebut bertujuan menghalang penyebaran kandungan palsu, mengelirukan dan menghasut yang boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi awam negara.
Mahkamah turut menegaskan bahawa kepentingan awam mengatasi kepentingan peribadi, dan keseimbangan keadilan dalam kes ini berpihak kepada MCMC.
“Mahkamah mengambil kira bahawa kemudaratan kepada pihak Telegram adalah minimum berbanding potensi kesan negatif terhadap institusi negara dan ketenteraman awam sekiranya kandungan sedemikian terus disiarkan,” jelas kenyataan tersebut.
Pada masa sama, mahkamah mengingatkan bahawa penyedia platform luar negara seperti Telegram perlu peka terhadap konteks sosial dan perlembagaan Malaysia, serta menghormati undang-undang tempatan.
MCMC menegaskan bahawa keputusan itu mencerminkan kesungguhan agensi tersebut dalam memelihara keselamatan digital negara dan mengawal penyebaran maklumat palsu yang boleh mengganggu keharmonian serta kestabilan awam.
Langkah itu juga menjadi isyarat jelas kepada penyedia platform antarabangsa bahawa mereka tidak boleh membenarkan kandungan yang mengancam integriti institusi negara dan kestabilan masyarakat.