PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas satu kes pengabaian terhadap kanak-kanak autisme itu, dua tahun lalu.
Hakim, Dr Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas mendapati Ismanira Abdul Manaf, 30, gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaannya.
Beliau berkata, setelah mahkamah mendengar keterangan saksi-saksi pembelaan dan pendakwaan secara maksimum, termasuk eksibit dikemukakan serta meneliti hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes ini.
Semasa membaca keputusan penghakimannya, Syahliza memberi tiga alasan bagi menunjukkan tertuduh telah melakukan kesalahan terhadap anak istimewa itu.
Pertama, beliau berkata, kesalahan di bawah Akta Kanak-Kanak 2021 tidak memperuntukkan taksiran atau definisi bagi perkataan pengabaian di bawah Seksyen 31(1)(a) akta tersebut.
Justeru katanya, mahkamah tidak terikat dengan taksiran dan perspektif psikologi bagi mana-mana organisasi atau pertuduhan, sama ada sesuatu tindakan oleh tertuduh merupakan pengabaian atau tidak, perlu ditentukan oleh fakta dan keterangan dalam sesuatu kes.
Kedua beliau berkata, pembelaan menghujahkan bahawa, tertuduh tidak mengabai mangsa pada hari kejadian iaitu, Zayn Rayyan berjalan di belakangnya kerana ia merupakan rutin si mati yang bersifat tegar dan tidak boleh diubah.
Sedangkan katanya, hujahan itu bercanggah dengan keterangan tertuduh sendiri dan saksi pembelaan keempat (SD4) iaitu rakan baiknya, penyambut tetamu firma guaman, Umi Syafiqah Rohizal, 30.
“Faktor ketiga ialah keterangan pembelaan bahawa tertuduh telah mengawasi si mati pada tarikh kejadian.
“Tertuduh telah membiarkan mangsa berjalan di belakangnya tanpa pengawasan yang sewajarnya, sehingga membawa kepada kehilangan si mati," katanya.
Selain itu beliau berkata, mahkamah mendapati keterangan SD5, Doktor Pakar Psikologi Kanak-Kanak, Dr Noor Aisyah Rosli, 49, sebagai bersifat pendapat dan tidak konklusif.
Menurutnya, ini kerana penilaian mengenai tingkah laku si mati dibuat semata-mata berdasarkan maklumat yang diberi tertuduh kepadanya.
“Mahkamah memutuskan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes terhadap tertuduh.
“Oleh demikian, tertuduh didapati bersalah dan disabitkan kesalahan seperti dalam pertuduhan pindaan,” kata hakim itu.
Mendengar perkara itu, Ismanira sempat berpaling kepada keluarga dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dari kandang tertuduh.
Mereka juga tidak menyangka keputusan tersebut dan mengucapkan ‘ALLAHUAKBAR’ ketika berada di galeri awam.
Pada 13 Jun tahun lalu, Ismanira dan Zaim Ikhwan mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan terbabit.
Mengikut pertuduhan pindaan, pasangan itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam, keesokkannya.
Pada 21 Julai, nasib menyebelahi Zaim Ikhwan apabila mahkamah membebaskannya daripada pertuduhan berkenaan.
Hakim, Dr Syahliza memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pertama terbabit.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, jam 10 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring dengan jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Kamarul Iman Ahmad Sapian.
Peguam pembelaan bagi Ismanira pula, Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.