PEKAN – Dua individu di daerah ini menanggung kerugian lebih RM115,000 selepas terpedaya dengan dua taktik penipuan dalam talian membabitkan tawaran hadiah palsu dan pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kejadian pertama melibatkan seorang pensyarah yang menerima tawaran hadiah kononnya daripada syarikat telekomunikasi pada Selasa.
Menurutnya, wanita berusia 55 tahun kerugian RM41,034 selepas terpedaya dengan tawaran tersebut yang sebenarnya tidak wujud.
“Mangsa menerima panggilan daripada individu yang mengaku sebagai kakitangan sebuah syarikat telekomunikasi dan menawarkan ganjaran mata hadiah lumayan atau telefon percuma.
"Mangsa kemudian memilih untuk menebus ganjaran itu sebelum menerima satu pesanan ringkas mengandungi pautan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, mangsa menekan pautan berkenaan dan mengisi maklumat akaun bank dan kad kredit miliknya.
"Selepas itu mangsa menerima beberapa mesej transaksi yang menyebabkan wangnya dipindahkan ke akaun individu lain.
“Akibatnya, mangsa mengalami kerugian keseluruhan RM41,034 dan tampil membuat laporan di Balai Polis Pekan,” jelasnya.
Dalam kejadian berasingan bulan lalu, Mohd Zaidi berkata, seorang pemandu lori berusia 38 tahun, kerugian RM74,000 selepas terpedaya dengan pelaburan palsu menggunakan nama syarikat Ecoworld.
Katanya, kejadian bermula apabila mangsa berkenalan dengan seorang wanita melalui aplikasi LipMatch dan berhubung secara rapat menerusi WhatsApp.
"Suspek menawarkan skim pelaburan itu dengan menjanjikan pulangan lumayan.
"Mangsa mula tertarik dengan tawaran tersebut dan telah membuat beberapa transaksi ke enam akaun berbeza," jelasnya.
Beliau menambah, selepas melabur, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan seperti dijanjikan.
“Mangsa kemudian ke pejabat Ecoworld dan dimaklumkan syarikat itu tidak mempunyai sebarang pelaburan seumpama itu dan laman web ecoworld.top bukan milik mereka,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mohd Zaidi menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan tawaran hadiah atau pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat.