Fei-Din tersingkir Terbuka Hylo

Iklan
Misi Sze Fei (kiri) dan Izzuddin pada Terbuka Hylo berakhir lebih awal selepas tewas di pusingan kedua. FOTO- AFP

RENTAK tidak menentu beregu profesional lelaki negara, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani berterusan apabila mereka tersingkir di pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Hylo di Saarlandhalle, Saarbrucken, Jerman pada Khamis.

Turun selaku pilihan kedua kejohanan, pasangan No.4 dunia itu tewas 9-21, 19-21 kepada gandingan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dalam aksi yang berakhir dalam tempoh 31 minit.

Iklan
Iklan

Sze Fei–Izzuddin dilihat gagal menampilkan permainan terbaik apabila kerap melakukan kesilapan mudah termasuk pukulan tersangkut di jaring dan bola keluar gelanggang.

Situasi itu banyak menghadiahkan mata percuma kepada Lundgaard-Vestergaard terutamanya di set pertama.

Iklan

Meskipun cuba memperkemas corak permainan di set kedua, usaha Sze Fei-Izzuddin untuk mengheret perlawanan ke set penentuan tidak kesampaian selepas beregu Denmark berkenaan kekal tenang menutup aksi dengan kemenangan straight set.

Kekalahan tersebut menambah senarai keputusan kurang memberangsangkan buat Sze Fei–Izzuddin apabila mereka kini sudah mengalami tiga penyingkiran di pusingan awal daripada lima kejohanan terakhir, termasuk di Terbuka Denmark dan Terbuka Hong Kong.

Iklan

Situasi itu sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai kestabilan prestasi beregu negara tersebut yang sebelum ini pernah mengungguli ranking No.1 dunia dan menjadi sandaran utama skuad kebangsaan dalam siri jelajah Eropah musim ini.