SEREMBAN - Dua hari menangis selepas duit simpanan RM10,500 yang dikumpul hasil penat lelah meniaga belon untuk hantaran kahwin hilang tercicir sewaktu bercuti di ibu kota.
Peniaga belon jalanan, Mohd Khairul Anwar Ruslan, 28, berkata, kejadian itu berlaku pada September tahun lalu menyebabkan hajat mendirikan rumah tangga pada tahun sama terpaksa ditangguhkan.
Menurutnya, wang tersebut disimpan dalam sampul surat di dalam beg dan dipercayai tercicir ketika berjalan di sekitar Kuala Lumpur bagi melepas penat selepas berjaya mengumpul duit hantaran berkenaan.
"Ketika kejadian saya ada beberapa kali mengeluarkan duit dari sampul yang diisi di dalam beg, tak pasti lokasi sebenar wang itu tercicir.
“Duit itu sepatutnya saya serahkan kepada tunang di Johor tiga hari sebelum kejadian. Semua dokumen perkahwinan dah siap, cuma tinggal nak serah pada tok kadi, tapi disebabkan kejadian itu terpaksalah perancangan itu ditangguhkan,” katanya kepada Sinar Harian.
Terdahulu, kisah Mohd Khairul Anwar yang berniaga belon badut sekitar Dataran Nilai, di sini untuk mengumpul duit kahwin tular di media sosial.
Perkongsian itu menimbulkan simpati dalam kalangan pengguna media sosial selain turut memberikan sokongan moral kepada anak jati Kuala Lumpur itu yang gigih berusaha untuk menghalalkan tunang tersayang.
Mohd Khairul Anwar berkata, kehilangan itu memberi tamparan hebat kepadanya kerana wang berkenaan dikumpul hasil titik peluh berniaga belon di sekitar Dataran Nilai dan Pantai Bagan Lalang.
"Saya pernah terfikir nak buat pinjaman kerana majlis semakin hampir, namun membatalkan niat selepas mengingatkan pengalaman pahit ibu bapanya yang bercerai disebabkan isu hutang dengan ah long.
“Saya tak nak ulang kesilapan yang sama. Biarlah saya kumpul balik sikit-sikit hasil kerja sendiri,” ujarnya.
Dia bersyukur kerana tunangnya tetap setia menunggu walaupun perancangan perkahwinan mereka tertangguh.
"Ikut persetujuan bersama kami ikat tali pertunangan dua tahun sahaja tapi disebabkan kejadian tidak terduga itu, tahun ini masuk tahun ketiga kami bertunang.
“Saya pernah cakap dengan dia, kalau tak boleh tunggu tak apa, saya reda. Tapi dia cakap sanggup tunggu. Alhamdulillah, saya sangat hargai kesabaran dia,” katanya.
Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, perancangan majlis itu dijangka dilangsungkan hujung tahun ini jika wang itu sudah mencukupi.
"Sekarang sudah berjaya mengumpul semula kira-kira RM5,000 dan berharap dapat menambah baki RM5,000 lagi bagi merealisasikan impian mendirikan rumah tangga hujung tahun ini.
“Sekarang, saya usaha juga cari rezeki lebih. Kalau cukup duit, insya-ALLAH kahwin hujung tahun ini, tapi kalau tak cukup, mungkin kena tangguh lagi,” ujarnya.
Dalam pada itu dia berkata, kemahiran membuat belon badut diperoleh sejak di bangku sekolah menengah dan kini menjadi sumber pendapatan utama selepas tidak mempunyai pekerjaan tetap.
“Alhamdulillah, sejak kisah saya tular, rezeki makin bertambah. Ada jemputan ke majlis sekolah dan sambutan hari jadi. Saya anggap semua itu rezeki selepas dugaan besar yang menimpa.
“Kalau saya tak ada kerja memasang rak di pasar raya saya akan meniaga belon di Dataran Nilai setiap malam. Kadang-kadang sampai jam 2 pagi sehingga tiada orang di sana.
"Hujung minggu pula dari pagi sampai petang berniaga di Bagan Lalang, malam sambung berniaga di Dataran Nilai,” katanya.
Mereka yang berminat membuat tempahan belon badut itu boleh menghubungi Mohd Khairul Anwar di talian OI7-8422668