SHAH ALAM - Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sah telah menyatakan hasrat untuk kembali menyertai parti itu di hadapan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Perkara itu didedahkan oleh sumber pemimpin UMNO yang rapat dengan bekas Menteri Kesihatan itu kepada Sinar Harian pada Khamis.
Hal ini susulan pertemuan Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ dengan Timbalan Perdana Menteri itu di majlis resepsi perkahwinan anak Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman baru-baru ini.
Sumber parti yang memegang jawatan penting dalam UMNO Selangor itu berkata, dalam pertemuan tidak rasmi itu, beliau dan KJ sendiri telah menyatakan hasrat kepada Ahmad Zahid untuk membincangkan kaedah untuk kembali ke pangkuan parti berkenaan.
Bagaimanapun, sumber enggan dinamakan itu menegaskan perbincangan dua pihak berkenaan hanya di peringkat lisan sahaja.
"KJ, saya dan Datuk (Ahmad Zahid) memang berjumpa di majlis kahwin (anak Pengerusi UMNO Perlis).
"Kami memang beritahu hasrat untuk berbincang (keadah) untuk masuk UMNO kembali. Borang (keahlian) tidak hantar, apa pun tidak hantar lagi.
"Kalau parti benarkan, insya-ALLAH beliau (KJ) akan kembali. (Dakwaan) Perkara selebihnya itu saya tidak mahu cerita," katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian.
Media tempatan sebelum ini melaporkan Khairy dijangka menyertai semula UMNO sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijadual berlangsung pada hujung bulan depan.
Hasrat pemimpin itu yang kini bertugas sebagai penyampai radio di Hot FM untuk kembali kepada UMNO, didakwa sudah mendapat 'restu' pimpinan tertinggi parti itu khususnya Ahmad Zahid.
Ahmad Zahid dikhabarkan sudah meminta Khairy menghantar dokumen permohonan bagi menyertai semula UMNO, selepas dipecat pada Januari 2023.
Sejak dipecat, Khairy menghabiskan masanya dan aktif dalam platform audio siar yang diasaskan beliau iaitu Keluar Sekejap yang kini meraih 397,000 pengikut atau subscriber.
Menerusi platform itu, beliau bersama bekas Ketua Penerangan UMNO yang digantung keahliannya oleh UMNO sebelum ini, Shahril Hamdan, berkongsi pandangannya berkenaan pelbagai isu semasa yang turut menyentuh politik, ekonomi serta hal ehwal antarabangsa.
Mengulas lanjut, sumber berkenaan yang pernah menjadi pegawai kanan KJ mengakui terkejut apabila mengetahui spekulasi mengatakan bekas Ahli Parlimen Rembau itu dikatakan bakal diberi kerusi Parlimen Kepala Batas yang pernah disandang bapa mentua, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak.
Selain itu, sumber itu turut menolak dakwaan kononnya KJ sudah diberi tanggungjawab untuk membantu jentera BN Sabah pada PRN negeri berkenaan tidak lama lagi.
"KJ memang ada berjumpa Presiden untuk berbincang (kembali kepada UMNO). Tetapi bila dikaitkan isu (beliau didakwa ditawarkan kerusi Parlimen) Kepala Batas, bantu PRN Sabah...maklumat Itu saya tidak tahu dapat daripada sumber mana.
"KJ berjumpa dan (memberikan) salam hormat kepada Presiden sebagai insan lebih tua. Saya sendiri pun sudah menyampaikan hasrat KJ sebelum ini kepada (Setiausaha Kerja UMNO) Datuk Mohd Sumali Reduan dan pegawai khas presiden sendiri.
"Segalanya terpulang kepada parti," katanya lagi.
Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengakui Khairy masih setia kepada UMNO, biarpun pernah disingkirkan parti itu sebelum ini.
Bagaimanapun, Reezal Merican yang juga Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas menyerahkan sepenuhnya kepada bekas Ketua Pemuda UMNO itu untuk menentukan hala tuju politiknya selepas ini.
Beliau juga mengesahkan berada dalam sebuah majlis perkahwinan di Perlis yang turut menemukan Khairy dan Ahmad Zahid minggu lalu.
"Saya ada pada masa kenduri (kahwin) itu, saya sekali dengan dia, duduk dengan dia. Cuma satu benda saya boleh maklumkan, memang kasih dan cinta Khairy ini hanya pada UMNO saja. Itu saya boleh sahkan.
"Tetapi (berkaitan dakwaan sertai semula UMNO) itu bukan keputusan saya, ia keputusan pimpinan atasan dan keputusan MKT, saya tidak boleh mendahului," katanya seperti dilapor sebuah portal pada Khamis.