SG4 tuntut pengurusan, agihan hasil REE lebih adil dan telus

Iklan
SG4 menegaskan bahawa segala sumber REE yang berada dalam sempadan negeri adalah hak milik negeri sebagaimana termaktub dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU – Majlis Menteri Besar SG4 yang dianggotai Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis menuntut supaya pengurusan serta agihan hasil sumber mineral unsur nadir bumi atau Rare Earth Element (REE) dilaksanakan secara adil, telus dan menghormati hak negeri pemilik sumber.

Dalam kenyataan bersama pada Khamis, SG4 menegaskan bahawa segala sumber REE yang berada dalam sempadan negeri adalah hak milik negeri sebagaimana termaktub dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, empat negeri berkenaan yang mewakili kira-kira 70 peratus sumber REE negara komited untuk mengurus kekayaan bumi tersebut secara bertanggungjawab, lestari dan memberi manfaat maksimum kepada rakyat serta generasi akan datang.

"Setiap negeri kini melaksanakan kajian terperinci dan membangunkan pelan strategik pengurusan REE yang diselaraskan bersama.

Iklan

"Pelan itu meliputi aspek eksplorasi, perlombongan mampan, pengurusan alam sekitar, pemindahan teknologi serta pembangunan tenaga kerja tempatan," jelas kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pengerusi SG4 merangkap Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Perlis, Tuan Mohd Shukri Ramli.

Iklan

SG4 dalam kenyataan sama turut menzahirkan kesediaan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan industri REE negara, namun menegaskan pengalaman lama berkaitan isu royalti petroleum tidak boleh berulang.

"Kerjasama ini mesti berasaskan semangat federalisme yang adil dan saling menghormati.

"Pengurusan serta pembahagian hasil perlu menekankan prinsip ketelusan, keadilan dan perkongsian keuntungan yang seimbang," katanya.

Menurut SG4, isu royalti petroleum yang berlarutan bertahun-tahun menjadi pengajaran penting supaya hak negeri pemilik sumber tidak diketepikan dalam apa jua bentuk kerjasama nasional.

"Hasil negeri tidak sepatutnya terhad kepada royalti semata-mata, sebaliknya perlu melibatkan penyertaan ekuiti, perkongsian keuntungan dan pemindahan teknologi yang nyata kepada negeri dan rakyat," katanya.

Pada masa sama, SG4 turut menyeru agar sebarang pelan pembangunan REE di peringkat nasional serta rundingan antarabangsa menghormati hak negeri dan melibatkan wakil negeri sumber dalam setiap peringkat perancangan dan pelaksanaan.

"Pembangunan industri REE wajar dilaksanakan di negeri pemilik sumber supaya limpahan ekonomi dan peluang pekerjaan turut dinikmati rakyat setempat," tambah kenyataan itu.

Media sebelum ini melaporkan, berdasarkan rekod Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Sarawak dan sembilan lagi negeri dikenal pasti berpotensi memiliki REE bukan radioaktif dengan anggaran nilai sebanyak RM809.6 bilion.

Negeri lain terbabit ialah Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Selangor.