[VIDEO] Pembantu tadbir didakwa 77 pertuduhan rasuah, kemuka dokumen palsu

Iklan

SEREMBAN - Seorang pembantu tadbir Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jelebu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas 77 pertuduhan rasuah dan mengemukakan dokumen palsu berhubung pelbagai perkhidmatan bernilai lebih RM400,000 pada 2022 hingga 2023.

Sharudin hadir ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Khamis.

Iklan
Iklan

Tertuduh, Sharudin Ibrahim, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim, N Kanageswari.

Terdahulu jurubahasa mahkamah mengambil masa hampir dua jam untuk membacakan 77 pertuduhan tersebut.

Iklan

Mengikut 15 pertuduhan, tertuduh sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu pembantu tadbir (Kewangan) Gred W22 di PKD Jelebu, telah menggunakan jawatannya untuk menerima melibatkan nilai keseluruhan RM55,815 dengan memperakukan arahan pembayaran pelbagai perkhidmatan program kesihatan kepada syarikat milik isterinya.

Perkhidmatan itu merangkumi penyewaan dan penyelenggaran komputer riba untuk kegunaan pusat pemberian vaksin, perkhidmatan sewa desktop, penyediaan makanan dan minimum, perkhidmatan sewaan bot dan rumah bot ke Pulau Redang, cenderahati serta pencetakan risalah dan baju.

Iklan

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Bagi 62 pertuduhan lagi, tertuduh sebagai penjawat awam telah mengelirukan prinsipalnya iaitu PKD Jelebu dengan mengemukakan butir matan palsu antaranya penyediaan makanan dan minuman, aktiviti gotong-royong, percetakan risalah, cenderahati, penyelenggaraan makmal perubatan dan pembekalan racun rumpai beberapa program berkaitan kesihatan melibatkan nilai RM349,500.40.

Kesemua kesalahan terbabit dilakukan antara Oktober 2022 hingga September 2023 di Pejabat Kesihatan Daerah Jelebu.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(2) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau silap itu jika butir matan palsu atau silap itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Nur Athirah Zainuddin menawarkan jaminan bagi keseluruhan RM230,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) sekali setiap bulan dan menyerahkan pasport.

Tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Irham Redzuan dalam rayuannya memaklumkan yang anak guamnya tidak mempunyai rekod jenayah dan disiplin sebelum ini.

Jelasnya, tertuduh ketika ini telah mengambil cuti tanpa gaji selama setahun dan kini tiada pendapatan serta perlu menanggung seorang isteri yang bekerja sebagai pembantu penyedia makanan dan tiga anak.

Mahkamah menetapkan jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan dimohon pihak pendakwaaan dan sebutan semula kes 8 Disember ini.