JOHOR BAHRU – Seorang peniaga kedai telekomunikasi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Khamis atas pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM600 kepada seorang pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) tahun lalu.
Tertuduh, Liau Hock Soon, 28, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan pertuduhan, Hock Soon didakwa secara rasuah memberi suapan berupa wang tunai RM600 kepada seorang pembantu penguat kuasa Gred KP19 MBIP sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap premis miliknya yang menjalankan perniagaan tanpa lesen sah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Pelepas 3, Taman Perindustrian Tanjung Pelepas, Gelang Patah, kira-kira pada jam 12.20 tengah hari, pada 9 Disember 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Tertuduh turut berdepan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan itu pada tarikh dan waktu sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu perempat daripada tempoh maksimum bagi kesalahan asal, denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Rais Adha Ramli, manakala tertuduh diwakili peguam K Barathi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin warga tempatan, selain perlu melapor diri di Pejabat SPRM Johor Bahru setiap bulan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 1 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes.