PENJAJAHAN datang dalam pelbagai bentuk. Tetapi tujuannya sama iaitu untuk mengaut keuntungan dan memenuhi tembolok kapitalis.
Ketika penjajah British datang ke Tanah Melayu, mereka menandatangani perjanjian dengan Raja-Raja Melayu. Mereka tidak perlu berperang.
Ini kerana mereka tahu orang Melayu hormat dan setia kepada Raja-Raja. Apabila Raja-Raja bersetuju dengan mereka, orang-orang Melayu juga akan akur.
British berjanji dengan Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan orang Melayu dan memelihara kuasa Raja-Raja Melayu dalam hal-hal mengenai agama Islam dan adat istiadat Melayu.
Tetapi segala hal-hal lain termasuk kuasa mengutip cukai, pengurusan kewangan, perdagangan, tanah, pentadbiran, kehakiman dan lain-lain Raja-Raja Melayu mestilah bertindak atas nasihat British.
Akhirnya, kuasa Raja-Raja Melayu terhakis dan British menguasai pentadbiran Tanah Melayu serta mengaut hasil mahsul Tanah Melayu untuk dibawa ke Eropah bagi memenuhi tembolok kapitalis di sana.
Bagaimana dengan nasib orang Melayu?
Mereka tidak bekerja di ladang-ladang atau lombong-lombong bijih milik British. Mereka juga tidak berniaga dengan British.
Mereka tidak memiliki bank-bank. Mereka tidak memiliki syarikat-syarikat yang mengeksport hasil mahsul Tanah Melayu ke Eropah.
Mereka dibiarkan tinggal di kampung-kampung. Miskin.
Adalah sekerat dua elit Melayu yang bekerja dengan kerajaan British di Malaya. Paling tinggi dapat jadi Penolong Pegawai Daerah atau Majistret Kelas Kedua yang melapor kepada pegawai atasan mereka dalam kalangan orang Inggeris.
Yang lain-lain jadi kerani, peon atau pemandu.
Ini disebut zaman kapitalisme kolonial. Negara-negara kuasa besar Barat memperluaskan wilayah penjajahan mereka untuk melindungi kepentingan kapitalis.
Selepas Tanah Melayu Merdeka, negara kuasa besar dan golongan kapitalis masih mempunyai kepentingan di negara kita. Kilang-kilang, ladang, bank, perusahaan dan lain-lain masih milik mereka.
Dengan perkembangan globalisasi, kapitalis dan negara kuasa besar menjumpai suatu kaedah baharu untuk memaksimumkan keuntungan.
Kos buruh di negara mereka semakin mahal. Mereka membuka kilang dan perusahaan di negara-negara bekas tanah jajahan untuk mencari bekalan tenaga buruh yang murah.
Barang-barang yang dihasilkan di negara-negara ini kemudiannya dieksport balik ke Eropah, Amerika dan negara-negara maju yang lain.
Untuk memudahkan pergerakan barangan dan perkhidmatan ke seluruh dunia, mereka memaksa negara-negara membangun dan miskin menandatangani perjanjian perdagangan bebas dengan mereka.
Untuk mendapatkan akses pasaran di negara-negara maju, negara-negara membangun dan miskin perlu menghapuskan sebarang bentuk halangan tariff di negara mereka.
Dengan menghapuskan halangan tariff, barulah mereka boleh mengeksport barangan yang dikeluarkan di negara mereka ke negara-negara maju.
Ironinya, yang mengeluarkan barangan di negara-negara membangun dan miskin bukanlah syarikat milik anak tempatan.
Kebanyakannya adalah syarikat-syarikat gergasi dengan modal yang besar dimiliki oleh para kapitalis di negara-negara maju.
Keuntungan syarikat-syarikat ini hasil perjanjian perdagangan bebas di bawa balik ke negara-negara maju juga. Yang negara-negara membangun dan miskin dapat hanyalah angka-angka pertumbuhan ekonomi (yang tidak dirasai oleh rakyat jelata) dan pekerjaan yang disediakan kepada rakyat dengan pendapatan yang minima.
Perjanjian perdagangan bebas juga digunakan sebagai senjata untuk mempengaruhi dasar awam dan politik negara-negara membangun dan miskin demi melindungi kepentingan kapitalis.
Misalnya, kuasa kerajaan untuk melaksanakan dasar-dasar tindakan afirmatif demi kepentingan rakyat jelata semakin dikekang kerana dilihat tidak secocok dengan dasar liberalisme dan kepentingan kapitalisme global.
Negara-negara ini dan rakyatnya kekal miskin, kecuali segelintir yang berjaya merebut peluang berniaga dengan golongan kapitalis.
Negara-negara membangun dan miskin masih dijajah ekonominya. Cuma nama penjajahannya berbeza. Dari kapitalisme penjajah kepada kapitalisme global. Tujuannya masih sama, iaitu untuk melindungi kepentingan kapitalis.
Globalisasi, perdagangan bebas, deregulasi dan neo-liberalisme digunakan sebagai senjata baharu penjajahan.
Hari ini, negara maju terutamanya Amerika Syarikat menyedari bahawa dasar neo-liberal dan kapitalisme global memberi kesan negatif kepada rakyatnya.
Oleh kerana banyak industri di negara mereka beralih ke negara-negara membangun untuk mencari tenaga buruh yang murah, rakyat di negara mereka hilang pekerjaan.
Pekerjaan rakyat mereka telah diambil oleh rakyat negara membangun. Industri di Amerika Syarikat mengalami zaman malap. Pada masa yang sama, China muncul sebagai kuasa besar ekonomi menyaingi Amerika Syarikat.
Lebih memedihkan, banyak industri Amerika Syarikat beralih ke China. Justeru, ada suatu kebangkitan baharu di Amerika Syarikat dalam bentuk “populisme nasionalis”.
Kepentingan Amerika Syarikat mesti didahulukan berbanding yang lain-lain. Make America Great Again (MAGA) adalah manifestasi populisme nasionalis ini. Trump menjadi popular kerana memperjuangkan kepentingan nasional Amerika Syarikat.
Sekali lagi tariff dijadikan alat untuk melindungi kepentingan ekonomi dan politik negara kuasa besar.
Jika dahulu zero tariff digunakan sebagai alat untuk melindungi kepentingan kapitalis. Kali ini Trump mengenakan tariff yang tinggi untuk barangan yang masuk ke Amerika Syarikat untuk melindungi kepentingan kapitalis juga.
Negara-negara yang mahukan tariff yang lebih rendah mesti menandatangani perjanjian dengan Amerika.
Berlumba-lumba lah negara-negara membangun menandatangani perjanjian dengan Amerika Syarikat. Dapat sedikit penurunan dikira sebagai kejayaan besar. Walhal, ekonomi mereka masih dijajah. Malah dijajah dengan lebih rakus.
Tidak cukup dengan itu, Amerika mengenakan syarat negara membangun mesti membeli barangan yang dikeluarkan di negara itu dengan nilai mencecah trillion dollar.
Trilion dollar pun trilion dolarlah. Asalkan dapat tandatangan perjanjian dengan Trump. Itu sudah dikira satu kejayaan besar.
Gambar-gambar kedatangan Trump disambut dengan acara tarian yang meriah, Perdana Menteri menaiki kenderaan The Beast dengan penuh bangga dan pujian Trump kepada Perdana Menteri setelah menandatangani perjanjian berat sebelah, menggamit ingatan kita kepada kedatangan penjajah British ke Tanah Melayu suatu masa dahulu dengan tujuan untuk mengaut hasil mahsul tanah air kita untuk mengisi tembolok kapitalis di Eropah.
Apa yang orang Melayu dapat pada ketika itu?
Kemiskinan selama berabad yang sehingga ke hari ini pun masih sukar diperbaiki.
Sama lah seperti perjanjian dengan Trump ini.
Apa yang rakyat dapat?
Yang rakyat dapat barangkali hanya angka-angka pertumbuhan ekonomi yang tidak sampai ke poket mereka.
Kilang-kilang dan perusahaan-perusahaan itu masih milik kapitalis gergasi yang berpangkalan di New York, London, Paris, Tokyo dan Seoul.
Yang bekerja di kilang-kilang dan perusahaan-perusahaan itu kebanyakannya datang dari Bangladesh, Indonesia, India, Myanmar dan Nepal.
Ada jugalah golongan kelas pertengahan warga Malaysia yang berpendidikan tinggi bekerja sebagai golongan profesional di perusahaan-perusahaan ini.
Tetapi pendapatan mereka tidaklah setimpal kerana matlamat kapitalis global menanam modal di negara kita pun atas tujuan mendapatkan tenaga buruh yang murah.
Bagaimana dengan yang miskin dan berpendidikan rendah?
Mereka bertambah miskin.
* Datuk Dr Marzuki Mohamad ialah bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Malaysia ke-8