KUALA LUMPUR - Seramai 1,303 individu yang dipercayai terlibat dengan kes penipuan dalam talian ditahan menerusi Op Mule Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) bermula 22 hingga 28 September lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, operasi itu dilancarkan bagi membanteras kegiatan jenayah komersial melibatkan akaun keldai khususnya bagi kes-kes yang dilaporkan oleh NSRC.
"Sepanjang operasi, seramai 1,303 individu ditahan manakala sebanyak 778 kertas siasatan dibuka di seluruh negara," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JSJK, Menara KPJ di sini pada Khamis.
Rusdi berkata, operasi itu bertujuan untuk menjalankan serbuan, tangkapan dan rampasan terhadap ahli-ahli sindiket akaun keldai.
"Ia sama ada mereka terlibat dalam penipuan dalam talian, bahagian kewangan dan warga negara asing yang boleh disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 424A, 424B, 424C Kanun Keseksaan.
“Seramai 2,062 suspek dikenal pasti terlibat namun kita berjaya menahan seramai 1,303 individu manakala 759 orang lagi masih dikesan,” katanya.
Menurutnya, tangkapan paling ramai adalah di Sabah iaitu 475 orang diikuti Sarawak (426 orang), Johor (275 orang) dan Selangor (222 orang).
"Kita mendapati ramai individu terlibat menjadi keldai akaun di Sabah dan Sarawak kerana kurangnya kesedaran dan pengetahuan berkaitan kesalahan ini.
“Daripada 778 kertas siasatan yang dibuka, kita berjaya menuduh sebanyak 270 kertas siasatan serta 312 lagi masih dalam siasatan. Sebanyak 46 kertas siasatan tiada tindakan lanjut (NFA), 104 di peringkat Timbalan Pendakwa Raya dan empat lagi perlu disemak semula,” katanya.