Pakistan-Afghanistan di ambang perang

Iklan
Pelarian Afghanistan yang diusir dari Pakistan tiba di lintasan sempadan Zero Point antara Afghanistan dan Pakistan di daerah Spin Boldak, wilayah Kandahar. AFP

ISLAMABAD - Kerajaan Pakistan mengesahkan rundingan damai dengan Afghanistan di Istanbul gagal mencapai sebarang penyelesaian konkrit.

Menteri Penerangan, Attaullah Tarar berkata kegagalan itu berpunca daripada sikap Kabul yang enggan memberi jaminan keselamatan dan terus menuding jari.

Iklan
Iklan

Beliau menegaskan Islamabad akan mengambil langkah sendiri untuk melindungi rakyatnya daripada ancaman militan.

Rundingan empat hari itu dimediasi oleh Qatar dan Turkiye bagi mencari jalan keluar selepas pertempuran berdarah di sempadan.

Iklan

Anggota keselamatan Taliban berkawal di jalan berhampiran lintasan sempadan Ghulam Khan antara Afghanistan dan Pakistan di wilayah Khost. AFP

Letupan di Kabul pada 9 Oktober menjadi pencetus kepada krisis terbaru antara dua jiran Asia Selatan itu.

Iklan

Taliban menuduh Pakistan sebagai dalang serangan tersebut, manakala Islamabad menafikan dan menuduh Kabul melindungi pengganas.

Pertempuran yang tercetus selepas itu mengorbankan puluhan nyawa di kedua-dua pihak termasuk orang awam.

Menurut Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Afghanistan (UNAMA), sekurang-kurangnya 50 orang awam terbunuh dan lebih 400 cedera dalam masa seminggu.

Tentera Pakistan pula melaporkan 23 anggotanya terkorban dan 29 cedera dalam siri serangan balas.

Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Asif memberi amaran kegagalan rundingan boleh membawa kepada perang terbuka.

“Kami mempunyai pilihan iaitu jika tiada perjanjian dicapai, kami akan berperang,” katanya.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Afghanistan, Abdul Mateen Qani membalas bahawa negaranya bersedia menghadapi sebarang serangan.

Sebuah rumah rosak akibat serangan udara ketika pertempuran rentas sempadan antara Afghanistan dan Pakistan di Kabul. AFP

“Kami tidak mempunyai senjata nuklear, tetapi kami sudah membuktikan tiada kuasa mampu menundukkan Afghanistan,” katanya.

Sempadan kedua-dua negara kini ditutup sepenuhnya selama dua minggu.

Penutupan itu menyebabkan ratusan lori sarat dengan hasil pertanian terkandas dan rosak di Spin Boldak.

“Buah dalam lori mula reput, kami hanya mahu sempadan dibuka,” kata seorang pemandu dikenali sebagai Gul kepada AFP.

Hubungan Pakistan dan Afghanistan semakin tegang sejak Taliban kembali berkuasa pada 2021.

Islamabad menuduh kerajaan Taliban melindungi kumpulan Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) yang menyerang pasukan keselamatannya.

Kegagalan rundingan di Istanbul menandakan peluang damai semakin tipis, dan rantau itu kini berdepan risiko perang baharu antara dua negara Islam berjiran. - Agensi