BANGKOK-Kerajaan Thailand memberi amaran tegas bahawa pelancong dan penduduk Israel di negara itu bakal berdepan tindakan undang-undang yang lebih keras selepas peningkatan aduan mengenai tingkah laku biadab serta kegiatan haram dalam kalangan mereka.
Amaran itu disuarakan selepas satu mesyuarat antara pihak polis Thailand dan Penasihat Kanan Majlis Keselamatan Israel, Avi Bitton yang berlangsung di Phuket pada Isnin.
Ketua Polis Wilayah Surat Thani, Mejar Jeneral Polis Suwat Suksri berkata, perbincangan itu memberi tumpuan kepada aduan rakyat tempatan terhadap pelancong Israel yang terlibat dalam perniagaan tidak sah, pesta dadah dan perlakuan menghina budaya tempatan.
“Kami berharap pertemuan ini dapat menyelesaikan sebahagian daripada masalah pelancong Israel yang berkelakuan tidak wajar,” kata Suwat selepas mesyuarat tersebut.
Avi Bitton dalam pertemuan itu menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan tegas pihak berkuasa Thailand, termasuk penangkapan serta pemeriksaan ke atas komuniti Israel yang didapati melanggar undang-undang.
Thailand kini menempatkan enam pusat Chabad di Pai, Phuket, Koh Samui dan Koh Phangan – yang menjadi tempat perlindungan khas bagi tentera simpanan Israel yang baru pulang dari medan perang.
Menurut Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand, sekitar 300,000 pelancong Israel telah melawat Thailand antara Januari hingga September 2025, meningkat 57 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Lonjakan ini dikaitkan dengan keinginan ramai warga Israel mencari ketenangan selepas tamat perkhidmatan tentera.
Namun, peningkatan itu turut menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat tempatan, terutama selepas beberapa insiden mencemarkan imej pelancong Israel.
Antaranya, penangkapan empat warga Israel pada 14 Oktober di Koh Samui kerana menganjurkan pesta dadah bagi meraikan 'keamanan', serta insiden pada Mei lalu apabila seorang wanita Israel enggan menanggalkan kasut sebelum masuk ke restoran Thai di Koh Phangan sambil menjerit: “Duit saya membangunkan negara kamu.”
Kedutaan Israel di Bangkok pada Sabtu turut mengeluarkan kenyataan di media sosial, mengingatkan rakyatnya agar menghormati tempoh berkabung selama 30 hari bagi mendiang Permaisuri Sirikit.
“Elakkan muzik kuat, pesta, atau demonstrasi kegembiraan. Berpakaian sopan dan hormati suasana berkabung,” menurut kenyataan itu.
Kerajaan Thailand menegaskan bahawa undang-undang negara akan dikuatkuasakan sepenuhnya tanpa sebarang pengecualian, termasuk terhadap pelancong asing yang tidak menghormati adat dan peraturan tempatan. -Agensi