UNITED KINGDOM - Sebahagian bangkai kapal bersejarah dipercayai dari abad ke-17 ditemukan timbul di pesisir Studland Bay, Dorset susulan Ribut Chandra melanda kawasan itu baru-baru ini.
Memetik laporan BBC pada Isnin, penemuan rangka kayu kapal tersebut direkodkan pada 28 Januari lalu di kawasan pantai milik badan konservasi 'National Trust', sekali gus mencetuskan minat dalam kalangan ahli arkeologi maritim.
Pakar arkeologi maritim dari Bournemouth University percaya bahawa struktur kayu itu merupakan sebahagian daripada bangkai kapal Swash Channel yang pertama kali dijumpai sekitar 90-an lalu di laluan perkapalan utama menuju Pelabuhan Poole.
Bagaimanapun, ada yang berpendapat ia berkemungkinan besar 'Fame of Hoorn', kapal dagang milik tentera Belanda terkandas sebelum tenggelam pada 1631.
Bahagian yang ditemukan dipercayai badan kapal, dianggarkan sepanjang enam meter dan dua meter lebar.
Sebahagian besar lapisan papan pada bahagian dalaman kapal telah hilang manakala selebihnya tertimbus tanah sejak lebih 400 tahun.
Pengurus Besar Bahagian 'National Trust' di Purbeck, Tracey Churcher berkata, penemuan itu membuktikan betapa canggih dan hebatnya tahap kemahiran pertukangan kapal pada zaman berkenaan.
“Saya sentiasa kagum dengan sejarah yang ditemui di Studland, namun penemuan kali ini benar-benar satu khazanah.
"Paku kayu masih kekal utuh biarpun selepas 400 tahun, satu bukti ketukangan yang luar biasa pada masa itu,” katanya.
Pengesahan muktamad mengenai asal-usul serpihan rangka kapal itu akan dibuat melalui ujian dendrokronologi bagi menentukan usia, lokasi asal kayu serta perbandingannya dengan sampel bangkai kapal Swash Channel yang dianalisis sebelum ini.
Pasukan penyelidik dari Universiti Bournemouth kini dalam proses memohon geran daripada Historic England untuk menjalankan kerja-kerja penggalian kerana berkemungkinan ia sebahagian daripada bangkai kapal yang dilindungi.
Ahli arkeologi maritim dari Historic England, Hefin Meara berpandangan, kapal Swash Channel merupakan antara 57 bangkai di pesisir England yang dilindungi di bawah Akta Perlindungan Bangkai Kapal 1973.
“Sisa kapal yang bertarikh sebelum 1700 amat jarang ditemui. Walaupun belum dapat dipastikan serpihan ini berasal daripada bangkai kapal tersebut, kemungkinan itu ada dan sangat menarik,” ujarnya.
Difahamkan, bangkai kapal yang dilindungi tertakluk undang-undang dan sebarang urusan campur tangan hanya dibenarkan dengan lesen rasmi.
Dalam masa sama, ramai berharap agar bangkai kapal yang ditemukan di Studland Bay dapat disertaikan sekali dalam tayangan umum di Muzium Poole.
Sementara itu, orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak menyentuh kayu kapal yang terdedah di permukaan bagi melindungi tapak bersejarah itu.
Kapal Fame of Hoorn dianggarkan sepanjang 40 meter, selebar 10 meter dan setinggi 15 meter.
Ia juga dikhabarkan mampu membawa lebih 40 meriam sebagai senjata pertahanan jika diserang lanun ketika pelayaran ke Caribbean bagi membawa pulang garam.
Rekod sejarah menunjukkan kesemua 45 anak kapal berjaya menyelamatkan diri ketika kapal itu terkandas, namun bangkainya kemudian dijarah penduduk setempat.