KUALA LUMPUR - Pembangkang menolak tanggapan bahawa mereka mempersoalkan kredibiliti penjawat awam, sebaliknya hanya membangkitkan isu terkait kandungan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) di Dewan Rakyat.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kerajaan tidak sepatutnya melenting dan mendakwa pembangkang tidak menghargai jasa pegawai kerajaan yang bertungkus-lumus dengan proses berkait perjanjian berkenaan.
Menurut Hamzah, sebagai individu yang pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar, beliau memahami kesibukan penjawat awam yang bekerja pada waktu berbeza kerana pernah berada dalam situasi tersebut bersama mereka.
"Jika anda jumpa penjawat awam, anda tahu mereka akan beritahu kami, kami berkhidmat untuk kerajaan semasa. Maknanya dia menurut perintah kerajaan yang ada hari ini. Kita faham. Dia pun pernah berkhidmat untuk kita (semasa Perikatan Nasional menjadi kerajaan).
"Yang kita persoalkan adalah kamu sebagai Menteri yang bersetuju dengan artikel yang kita bentangkan ini. Yang nak melenting seolah-olah kami tak bersetuju dengan penjawat awam bahawa tak berterima kasih dengan pegawai kerajaan tak tidur, zon waktu berbeza 12 jam. Apa ini?
"Saya pernah jadi Timbalan Menteri Luar. Datuk Seri Saifuddin Abdullah pernah jadi Menteri Luar. Kami tahu (bekerja dalam) zon waktu (berbeza).
"Saya pernah, dalam lapan hari, saya berkunjung ke tujuh negara untuk berbincang, bertemu dengan pemimpin-pemimpin (asing). Sebab itu kita tahu mereka (penjawat awam) bekerja," katanya pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen di sini, pada Selasa.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang memberikan penerangan khas mengenai ART antara Malaysia-AS di Dewan Rakyat.
Sebelum itu, Dewan Rakyat kecoh ketika Tengku Zafrul memberikan penerangan dan menolak dakwaan bahawa perjanjian tersebut menggadaikan kedaulatan negara.
Beliau turut mempertahankan usaha pegawai kerajaan dalam rundingan tersebut.
Dalam sesi penerangan berkenaan, Tengku Zafrul berkata, wujud pihak yang menghina penjawat awam termasuk Ketua Setiausaha Kementerian, namun tidak menamakan mana-mana individu.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul juga turut memberi amaran tegas kepada ahli Parlimen agar tidak menghina penjawat awam ketika berbahas.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, pembangkang hanya ingin mempersoalkan perjanjian perdagangan tersebut, antara lain berhubung Perkara 3.3 berkaitan perdagangan digital.
Beliau juga menafikan ahli Parlimen pembangkang bersikap dengki terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Saya nak beritahu Perdana Menteri, kami tak dengki pun kamu boleh menari dengan Trump di lapangan terbang dan semasa program rasmi kerajaan.
"Apa yang kami persoalkan adalah tentang perjanjian, kami persoalkan tentang maruah kerajaan, maruah negara. Itu yang kami persoalkan," katanya.