ALOR SETAR - Malaysia tidak akan sesekali menukar prinsip diplomasi hanya demi sorakan kuasa besar dunia, sebaliknya terus berpegang kepada nilai kemanusiaan sejagat yang menjadi teras dasar luar negara ini.
Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Asmirul Anuar Aris berkata, persidangan ASEAN di Kuala Lumpur membuktikan Malaysia kini diiktiraf sebagai pusat graviti baharu dalam dunia multipolar yang sedang terbentuk.
Menurut beliau, kehadiran kuasa-kuasa utama dunia bukan sekadar acara protokol, tetapi suatu pengiktirafan bahawa Malaysia kini memainkan peranan sebagai penyelaras strategik dalam percaturan geopolitik serantau dan antarabangsa.
“Malaysia kekal mengamalkan diplomasi ketamadunan, menyantuni tetamu dengan adab warisan Nusantara tanpa mengorbankan prinsip moral dalam isu kemanusiaan.
“Namun adab tidak bermaksud berkompromi terhadap moral imperatif dalam isu kemanusiaan.
”Gaza ialah kompas nurani Malaysia. Tarian dan sorakan bukan ukuran diplomasi jika tragedi kemanusiaan sedang berlaku tanpa henti di Palestin,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Asmirul Anuar menegaskan, Malaysia berdiri teguh bersama negara-negara Selatan Global dalam menolak hipokrasi kuasa besar serta penindasan, sejajar dengan tindakan Afrika Selatan membawa rejim aparteid moden ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas dakwaan pembunuhan beramai-ramai.
“Ini membuktikan dunia membangun tidak lagi rela menjadi penonton terhadap penodaan undang-undang antarabangsa.
“Isu Gaza kekal dibawa dalam koridor diplomasi kerana kelazimannya keputusan besar sering terbit daripada rundingan sisi yang bersahaja tetapi mendalam.
“Walaupun Malaysia konsisten memperjuangkan keadilan untuk Palestin, kerajaan turut mengimbangi pendirian moral itu dengan keperluan geopolitik ekonomi yang strategik serta tidak akan mengkhianati integriti kemanusiaannya,” jelasnya.
Tambah beliau, antara perkara yang diberikan perhatian ialah rundingan semula kadar duti import sebanyak 19 peratus oleh Amerika Syarikat agar pendedahan perdagangan Malaysia tidak terjejas, selain melindungi industri semikonduktor negara daripada tekanan tarif yang boleh menjejaskan rantaian nilai global.
“Malaysia juga menjadi perantara jujur dalam rundingan damai antara Thailand dan Kemboja, selain Kuala Lumpur menjadi pentas diplomasi ‘Amerika Syarikat-China Track II Dialogues’, menunjukkan negara ini dipercayai kedua-dua pihak dalam persaingan kuasa global,” ujarnya.
Asmirul Anuar berkata, kehadiran negara seperti Brazil dan Afrika Selatan turut mengesahkan komitmen Malaysia terhadap peluasan kerjasama Perkongsian BRICS dalam memperkukuh kepelbagaian ekonomi global yang bebas daripada dominasi satu kuasa tunggal.
“Sementara keanggotaan rasmi Timor-Leste sebagai ahli ASEAN ke-11 membuka peluang pembangunan pasaran hadapan kepada syarikat Malaysia, manakala penglibatan Kanada pula memperkukuh kedudukan negara sebagai gerbang strategik ke Asia,” jelasnya.
Menurut beliau, Malaysia bukan sekadar menjadi tuan rumah persidangan antarabangsa tetapi suara penjaga keadilan sejagat yang menegakkan keadilan global.
“Setiap salam diplomasi yang kita hulurkan disertai ingatan bahawa hak asasi tidak boleh digadaikan demi pesta meraikan ego mana-mana kuasa,” tambahnya.
Katanya, Malaysia akan terus melangkah sebagai negara berdaulat yang menyulam keuntungan strategik tanpa meninggalkan maruah dan solidariti umat, mencerminkan kepimpinan negara yang berprinsip, bermaruah serta berpandangan jauh.