Gerakan desak kerajaan tangani krisis buli sekolah

Iklan
Koon Yen

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menggesa Kerajaan Madani mengambil tindakan segera dan menyeluruh bagi menangani krisis buli di sekolah yang semakin serius dengan peningkatan kes mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Setiausaha Agung Wanita Nasional Gerakan, Sin Koon Yen berkata, kes buli meningkat daripada 326 kes pada tahun 2021 kepada 7,681 kes pada tahun 2024, iaitu peningkatan 17 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Iklan
Iklan

Dakwanya, beberapa kes terkini seperti insiden dua pelajar lelaki di Kuching yang mengugut rakan sekelas perempuan untuk dirogol dan dibunuh, serta remaja 15 tahun di Damansara yang trauma untuk ke sekolah, membuktikan isu itu semakin membimbangkan.

“Buli bukan sahaja memberi kesan fizikal, malah meninggalkan luka psikologi yang mendalam dan mengganggu pembelajaran pelajar,” ujarnya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Gerakan mencadangkan kerajaan segera menggubal Akta Anti-Buli Sekolah yang memperincikan definisi buli, mekanisme laporan serta hukuman yang jelas terhadap pelaku.

Parti itu turut mencadangkan penubuhan Unit Intervensi Psikologi dan Kaunseling di setiap sekolah, selain mewujudkan Sistem Pelaporan Rahsia dan Mesra Remaja bagi membolehkan pelajar tampil membuat laporan tanpa takut kepada ancaman.

Iklan

“Kerjasama antara sekolah, ibu bapa, komuniti dan NGO perlu diperkukuh melalui pendidikan karakter dan pemantauan rakan sebaya,” ujarnya.

Beliau turut menyarankan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan panas sekolah, tindakan tatatertib yang tegas serta kolaborasi rapat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pendidikan dan jabatan kaunseling agar kes tidak diselesaikan secara dalaman semata-mata.

Koon Yen menegaskan, kerajaan perlu bertindak proaktif dan bukan reaktif bagi memastikan sekolah kekal sebagai tempat yang selamat untuk membentuk sahsiah dan masa depan anak-anak negara.