BATU PAHAT - [DIKEMAS KINI] Pasangan suami isteri yang juga ibu bapa kepada kanak-kanak lelaki yang lehernya dikelar menggunakan pisau direman dua hari di di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.
Perintah reman terhadap kedua-dua suspek yang berusia 41 tahun itu dikeluarkan Majistret Nurasidah A Rahman sehingga Khamis.
Reman dikeluarkan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lebih lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sebelum itu, pasangan terbabit tiba di perkarangan mahkamah pada jam 8.30 pagi sebelum dibawa masuk ke dalam mahkamah untuk prosiding reman.
Kedua-dua suspek ditahan 4 petang Selasa, di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat bagi membantu polis melengkapkan siasatan.
Dalam kejadian 5.30 pagi Isnin lalu, mangsa berusia enam tahun ditemukan dalam keadaan parah selepas leher sebelah kanan dikelar menggunakan senjata tajam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata siasatan dijalankan sebaik pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa berusia 41 tahun pada pagi hari kejadian.
Menurutnya, wanita tersedar daripada tidur dan mendapati mangsa yang juga anak lelakinya mengalami kecederaan parah di leher dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
"Ketika ini kita sedang menyiasat dari pelbagai sudut berhubung insiden ini. Masih terlalu awal pihak polis bagi mengenal pasti motif kejadian itu berlaku," katanya.
Dalam pada itu, peguam suspek, Muhamad Izwan Ishak, berkata dalam prosiding itu, pegawai penyiasat memberitahu reman diperlukan untuk polis merekodkan percakapan mereka berdua.
Katanya, ia penting memandangkan ada maklumat daripada mangsa mendakwa terdapat pembabitan kedua-dua suspek sekali gus memerlukan siasatan lanjut.
“Selain itu terdapat percanggahan maklumat antara kedua-dua suspek yang mana memerlukan siasatan lebih terperinci daripada pihak polis.
“Arahan tahan reman juga dibuat untuk menunggu laporan daripada Jabatan Kesihatan Masyarakat (JKM) bagi mengambil kedua-dua anak suspek untuk diletakkan bawah jagaan sementara.
“Selanjutnya adalah mengesan pembabitan suspek ataupun kewujudan unsur lain jenayah lain dalam kes ini,” katanya.