Sebagai institusi ilmu tertinggi negara, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) terus memperkukuh peranannya bukan sahaja sebagai penjaga warisan intelektual bangsa, malah sebagai pemangkin kepada ekosistem penerbitan dan ilmu pengetahuan negara.
Melalui pelbagai inisiatif strategik, PNM berfungsi memastikan bahan bacaan, manuskrip serta penerbitan tempatan sentiasa dilestarikan, diakses dan dimanfaatkan oleh masyarakat.
Sebagai institusi yang memayungi warisan penulisan dan penerbitan negara, PNM bukan sekadar tempat penyimpanan bahan bacaan, tetapi menjadi simbol kepada identiti intelektual bangsa Malaysia iaitu tempat di mana ilmu, budaya dan sejarah terus hidup serta berkembang.
Dalam dunia yang kian berorientasikan teknologi dan maklumat segera, PNM kekal teguh sebagai benteng dan peneraju dalam memartabatkan budaya ilmu.
Peranan yang dimainkan tidak hanya menyemai kecintaan terhadap bahan bacaan, tetapi turut memastikan nilai, bahasa dan identiti nasional terus terpelihara.
PNM akan terus menjadi mercu tanda kecintaan bangsa terhadap ilmu dan warisan, memastikan setiap helaian pengetahuan yang tersimpan menjadi obor penerang masa depan negara.
Penjaga warisan ilmu bangsa
Sejak penubuhannya pada tahun 1985, Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu (PKMM) di bawah PNM kekal sebagai institusi penting dalam usaha memelihara, mendokumentasi dan mempromosikan khazanah tulisan tangan bangsa.
Sehingga kini, PKMM telah mengumpulkan 5,336 naskhah asal, 4,728 judul koleksi digital dan 995 judul dalam bentuk mikrofilem, menjadikannya pusat rujukan manuskrip Melayu yang komprehensif di rantau ini.
PKMM memainkan peranan penting dalam mengesan, memperoleh dan membina koleksi luar negara, mendokumenkan serta menyelenggara katalog induk dan bibliografi, menyediakan kemudahan pemuliharaan manuskrip serta menjadi pusat penyelidikan dan penerbitan ilmu berkaitan manuskrip Melayu.
Dengan peranan ini, PKMM bukan sekadar arkib penyimpanan, tetapi medan yang menghidupkan kembali khazanah intelektual Melayu kepada generasi baharu.
PNM telah memulakan usaha pengesanan manuskrip sejak tahun 1970-an lagi, namun selepas penubuhan PKMM pada tahun 1985, projek ini diperhebat secara menyeluruh.
Sehingga kini, sebanyak 790 salinan manuskrip Melayu berjaya diperoleh daripada 26 institusi luar negara, termasuk 166 bahan dari Bibliothèque Nationale de Paris, 111 bahan dari Leiden University Library dan 103 bahan dari Cambridge University Library.
Usaha ini turut memperlihatkan peningkatan ketara di bawah kepimpinan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Pada tahun 2021, sebanyak 42 manuskrip berjaya dikesan; meningkat kepada 44 pada 2022, 47 pada 2023, dan melonjak kepada 84 naskhah pada 2024.
Ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh warisan dokumentasi negara dan memulihkan semula khazanah ilmu bangsa.
Menurut Aaron, setiap manuskrip Melayu adalah sumber pengetahuan yang amat berharga kepada generasi kini dan akan datang.
“Kita bukan sekadar memelihara manuskrip, tetapi menghidupkan semula semangat keilmuan yang membentuk tamadun bangsa. Melalui PKMM, warisan ini bukan sahaja dipelihara, malah diangkat ke peringkat dunia,” katanya.
Setakat ini, empat manuskrip Melayu telah diiktiraf dalam Daftar Memory of the World (MoW) oleh UNESCO, iaitu Hikayat Hang Tuah (2001), Koleksi Cerita Panji (2017), Misa Melayu (2023), dan Koleksi Hamzah Fansuri (2025).
Pengiktirafan ini menempatkan warisan Melayu setanding dengan dokumen penting dunia dan menjadikan Malaysia antara negara terkehadapan dalam bidang pemuliharaan manuskrip tradisional.
Menyokong ekosistem ilmu negara
Selain berperanan sebagai penjaga warisan ilmu, PNM turut menjadi pusat rujukan utama penerbit di Malaysia melalui penyediaan perkhidmatan percuma seperti International Standard Book Number (ISBN/eISBN), International Standard Serial Number (ISSN/ eISSN) dan Pengkatalogan-dalam Penerbitan (PdP).
Sebagai Pusat Kebangsaan ISBN, PNM mula beroperasi sejak Ogos 1982, menguruskan pemberian nombor ISBN yang berfungsi sebagai pengenalan unik bagi setiap buku yang diterbitkan di Malaysia.
Manakala ISSN pula mula dikendalikan oleh PNM pada Jun 1976 sebagai pengenalan kepada penerbitan bersiri seperti majalah dan jurnal.
Kedua-dua nombor piawaian antarabangsa ini diperoleh melalui agensi rasmi yang berpusat di London (ISBN) dan Paris (ISSN).
Bagi bahan digital pula, eISBN dan eISSN diberikan untuk buku atau penerbitan elektronik dalam format cakera padat (CD), e-buku, pendrive atau platform dalam talian.
Ini memastikan semua penerbitan digital negara diiktiraf secara sah dan selaras dengan piawaian antarabangsa, sejajar dengan perkembangan industri penerbitan moden. Selain itu, PNM turut menyediakan perkhidmatan PdP secara percuma kepada penerbit-penerbit di Malaysia.
PdP merupakan data katalog yang dibekalkan kepada penerbit sebelum sesuatu karya diterbitkan bagi memudahkan pengurusan rujukan di perpustakaan.
Sejak 16 Januari 2023, PNM memperkenalkan kod QR PdP yang boleh dicetak di muka surat hak cipta sebagai pengganti data teks lama, menjadikan proses lebih efi sien dan mesra pengguna.
Sepanjang tiga tahun terkini (2022–2024), permohonan ISBN, ISSN dan PdP mencatat peningkatan yang signifi kan, dengan jumlah keseluruhan sebanyak 139,736 permohonan terdiri daripada 29,352 (2022), 37,313 (2023) dan 38,897 (2024).
Angka ini menunjukkan pertumbuhan positif dalam industri penerbitan tempatan serta kesedaran penerbit terhadap kepentingan pengiktirafan dan pengkatalogan rasmi bagi setiap terbitan mereka.
Aaron berkata, peningkatan itu menunjukkan minat masyarakat terhadap pembacaan dan penghasilan bahan ilmiah semakin meningkat.
“PNM bukan sekadar perpustakaan penyimpan buku, tetapi juga rakan strategik kepada industri penerbitan negara. Melalui perkhidmatan percuma ini, kerajaan membantu penerbit tempatan menembusi pasaran global dengan sistem pengenalan dan pengkatalogan yang diiktiraf antarabangsa,” ujar beliau.
Dengan usaha berterusan dalam pemuliharaan warisan bangsa serta sokongan terhadap industri penerbitan moden, PNM kini berdiri sebagai institusi ilmu yang menghubungkan tradisi dan teknologi, memelihara sejarah, memperkasa pengetahuan dan menyemarakkan budaya membaca untuk masa depan negara.