AMPANG – Seorang lelaki tempatan yang disyaki berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol ditahan selepas melakukan perbuatan khianat di sebuah rumah ibadat di Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi ketika pengadu, seorang lelaki berusia 49 tahun yang bertugas sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) terdengar kekecohan di sebuah restoran dalam kawasan rumah ibadat tersebut.
"Pengadu kemudian pergi ke lokasi dan mendapati seorang lelaki dipercayai sedang mabuk serta bercakap sendiri dan merapu.
“Pengadu menasihatkan lelaki berkenaan supaya beredar dan tidak membuat bising di kawasan rumah ibadat. Namun, suspek bertindak menolak tempat pembakaran colok sehingga menyebabkan abu colok berterabur,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mohd Azam berkata, pengadu kemudian menahan lelaki itu sebelum menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Sepasukan anggota dari Balai Polis Ampang tiba di lokasi pada jam 9.20 pagi dan menahan suspek berusia 35 tahun yang diserahkan oleh pengadu. Hasil semakan mendapati suspek mempunyai lapan rekod lampau berkaitan kesalahan dadah,” katanya.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek bertindak khianat di rumah ibadat berkenaan ketika berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol.
"Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Ampang pada Rabu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat," katanya.