SHAH ALAM - Kenyataan pemimpin Perikatan Nasional (PN) berhubung Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 didakwa menunjukkan kejahilan diplomasi dan niat politik sempit yang sanggup menggadaikan maruah negara demi kepentingan peribadi.
Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), G Sivamalar berkata, kehadiran mana-mana pemimpin termasuk Presiden Amerika Syarikat tidak bererti Malaysia tunduk atau menyokong ideologi mereka.
"Sebaliknya, ia membuktikan kemampuan Malaysia di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri untuk berinteraksi secara matang dan berprinsip.
"Isu video tular yang digambarkan oleh pembangkang kononnya Perdana Menteri ‘menari’ adalah salah tafsir dan sengaja dipolitikkan untuk kepentingan pihak pembangkang. Rakaman tersebut hanya merakam detik keramahan budaya Malaysia di mana Perdana Menteri sekadar menyertai acara simbolik untuk memperkenalkan budaya serta hospitaliti negara kepada dunia," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, PN mengecam keras cara pelaksanaan Sidang Kemuncak ASEAN yang didakwa huru-hara, tidak sensitif dan mengancam kedaulatan ekonomi negara.
Pengerusi Portfolio Hal Ehwal Antarabangsa Ahli Parlimen PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, ini berdasarkan beberapa kejadian ketika sidang kemuncak itu, terutama yang membabitkan Donald Trump.
Menurutnya, sambutan ‘gilang gemilang’ terhadap Trump tidak sensitif dan bercanggah dengan pendirian Malaysia yang teguh menyokong perjuangan rakyat Palestin.
Mengulas lanjut, Sivamalar berkata, menggambarkan detik keramahan tersebut sebagai sesuatu yang menjijikkan adalah satu penghinaan kepada rakyat Malaysia sendiri, khususnya artis, penari dan pasukan kebudayaan yang mewakili wajah keharmonian negara di pentas antarabangsa.
"Sidang ASEAN pada kali ini telah memperkukuh daya saing dan kepelbagaian ekonomi Malaysia melalui dasar ekonomi yang seimbang dan berkecuali.
"Fitnah bahawa Malaysia telah menggadaikan kedaulatan ekonomi hanyalah helah dan dakyah politik sempit yang dimainkan oleh pembangkang untuk menakut-nakutkan rakyat serta melemahkan keyakinan pelabur.
"Penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 itu sendiri merupakan bukti kecekapan Malaysia apabila menerima pengiktirafan antarabangsa terhadap tahap keselamatan, penyertaan dan organisasi yang cemerlang," katanya.
Jelasnya, mencari kesilapan teknikal kecil untuk dijadikan alasan mendesak peletakan jawatan seorang menteri jelas memperlihatkan politik murahan tanpa wawasan.
"Kerajaan hari ini terus meneruskan tradisi diplomasi Malaysia yang berprinsip, tegas dan berwibawa. Sementara pihak pembangkang sibuk bermain dengan persepsi, kerajaan bekerja keras memastikan suara Malaysia didengar, dihormati dan disegani di pentas antarabangsa.
Ujarnya, diplomasi bukanlah soal siapa yang disuka atau tidak tetapi soal menjaga kepentingan serta maruah negara.
"Mereka yang gagal memahami asas ini sebenarnya tidak layak untuk bercakap tentang kedaulatan kerana merekalah yang mengkhianati kebijaksanaan diplomasi Malaysia," katanya.