KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kejayaan Malaysia menandatangani peningkatan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN–China (FTA 3.0) sehari selepas Sidang Kemuncak ASEAN–Amerika Syarikat (AS) merupakan bukti kematangan diplomasi negara dalam mengimbangi kepentingan dua kuasa besar dunia.
Beliau berkata, tindakan itu menunjukkan Malaysia kekal bebas dan berprinsip dalam hubungan antarabangsa serta tidak terikat dengan mana-mana blok kuasa, sama ada dari Timur atau Barat.
“Kalau kita takut dengan negara AS, mustahil kita boleh menandatangani FTA 3.0 dengan China sehari selepas sidang bersama Presiden AS. Ini bukti kebijaksanaan diplomasi dan kematangan kita berunding dengan semua pihak,” katanya pada sidang media selepas majlis penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Selasa.
Menurut Anwar, peningkatan FTA ASEAN–China 3.0 itu memperkukuh komitmen Malaysia terhadap perdagangan bebas, pelaburan strategik dan integrasi ekonomi serantau yang lebih progresif.
Beliau berkata, Malaysia sentiasa mengekalkan dasar keterbukaan dan pragmatik dalam menjalin hubungan antarabangsa dengan menumpukan kepada manfaat langsung kepada ekonomi serta peluang pekerjaan untuk rakyat.
“Diplomasi yang kita amalkan bukan bersifat tunduk atau konfrontasi. Kita berunding, menjaga kepentingan ekonomi dan membuka ruang pelaburan supaya rakyat mendapat manfaat secara langsung,” jelasnya.
Dalam masa sama, Anwar menegaskan bahawa pendekatan Malaysia terhadap AS juga bersifat terbuka dan profesional dengan memberi tumpuan kepada isu ekonomi serta kerjasama teknologi baharu.
Beliau berkata, rundingan ekonomi bersama AS turut melibatkan perbincangan mengenai tarif tinggi sebanyak 19 peratus terhadap barangan Malaysia, selain membuka peluang baharu dalam sektor semikonduktor, maritim dan teknologi hijau.
“AS berminat untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang semikonduktor, cip dan maritim. Kita bersetuju berbincang dan meneroka peluang yang saling menguntungkan,” katanya.
Anwar menambah, semua rundingan tersebut disertai oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama pasukan kewangan negara yang memainkan peranan penting dalam menyusun agenda perdagangan Malaysia.
Beliau turut menjelaskan bahawa hubungan baik dengan AS dalam bidang ekonomi tidak akan menjejaskan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh kerjasama dengan China serta negara serantau lain di bawah rangka ASEAN.
“Perjanjian dengan AS tidak menghalang hubungan kita dengan China, begitu juga sebaliknya. Malaysia berkawan dengan semua atas dasar saling hormat dan manfaat bersama,” katanya.
Anwar menegaskan, kejayaan diplomatik tersebut adalah hasil kerjasama erat antara jentera kerajaan, pasukan perunding ekonomi serta sokongan negara-negara anggota ASEAN yang komited terhadap keamanan dan kemakmuran serantau.
“Inilah bukti kebijaksanaan diplomasi Malaysia dan kekuatan ASEAN. Kita tidak berpihak, tetapi tetap teguh menjaga kepentingan rakyat dan maruah negara,” katanya.