KUALA LUMPUR - ASEAN kini muncul sebagai antara rantau paling aman dan stabil di dunia hasil pendekatan diplomasi matang yang menekankan keamanan, kerjasama ekonomi serta keseimbangan hubungan antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tumpuan ASEAN ketika ini bukan hanya kepada isu geopolitik, sebaliknya memberi keutamaan kepada pembangunan ekonomi, perdagangan, pelancongan dan keterangkuman serantau bagi memastikan pertumbuhan mampan serta manfaat menyeluruh kepada rakyat.
“Fokus ASEAN kini adalah memperkukuh asas ekonomi dan hubungan sesama negara. Inilah rantau paling aman di dunia yang menjadi tumpuan kerana kestabilan dan potensinya untuk berkembang,” katanya pada sidang media selepas majlis penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Selasa.
Anwar menjelaskan, tumpuan kepada keterhubungan dan pemahaman geopolitik telah menjadikan ASEAN antara ekonomi paling pesat berkembang di dunia, sekali gus menarik minat pelabur antarabangsa untuk terus menyalurkan pelaburan ke rantau ini.
Beliau berkata, keberkesanan diplomasi yang dijalankan oleh negara-negara anggota telah memastikan kestabilan politik dan keamanan serantau terus terpelihara, meskipun ASEAN berdepan cabaran hubungan kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan China.
“Kita menggunakan ASEAN sebagai platform memperkukuh hubungan dengan semua negara. FTA kini diperluas bukan sahaja dengan China dan Amerika, tetapi juga dengan rantau lain seperti Afrika dan Amerika Selatan,” katanya.
Menurut beliau, langkah itu selaras dengan semangat multilateral dan globalisasi yang diperjuangkan Malaysia sepanjang kepengerusian ASEAN tahun ini, dengan memberi ruang kepada setiap negara untuk bersuara serta memperjuangkan kepentingan masing-masing secara adil dan terbuka.
“Tidak ada sebab untuk kita mengelak daripada berhubung dengan mana-mana negara. Walaupun ada pihak tidak senang dengan Brazil atau Afrika Selatan, bagi kita mereka adalah rakan penting dan mempunyai potensi besar dalam perdagangan dan pelaburan,” jelasnya.
Anwar turut menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, yang disifatkannya sebagai rakan strategik ASEAN dalam membina blok perdagangan baharu yang lebih seimbang dan adil.
“Kedua-dua pemimpin itu adalah sahabat saya. Mereka komited memperluas kerjasama global dan percaya bahawa rantau seperti ASEAN, Afrika dan Amerika Selatan perlu berganding bahu membina masa depan ekonomi yang lebih adil,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia melihat kerjasama dengan rantau berkenaan sebagai peluang jangka panjang untuk memperkukuh pelaburan, memacu perdagangan serta memperkukuh kestabilan politik serantau menerusi jaringan ekonomi yang strategik dan terbuka.
“Kita melihat perkembangan ini sebagai sesuatu yang positif. ASEAN kini bukan sahaja berperanan sebagai blok serantau, tetapi sebagai jambatan global antara Timur dan Barat,” ujarnya.
Tambah beliau, pengukuhan hubungan dengan Afrika dan Amerika Selatan dijangka memberi kesan segera dan berterusan terhadap pertumbuhan ekonomi ASEAN, termasuk Malaysia, sekali gus mengekalkan kedudukan rantau ini sebagai pusat tumpuan ekonomi dunia.
“Langkah ini memberi manfaat dalam jangka pendek, sederhana dan panjang. Hasil akhirnya ialah kestabilan, keamanan serta peluang ekonomi yang lebih luas untuk rakyat,” katanya.