SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai satu anjakan penting ke arah pemerkasaan sistem kesihatan negara yang lebih mampan dan inklusif.
Dengan peruntukan RM46.52 bilion iaitu peningkatan 2.76 peratus dana (RM1.25 bilion) berbanding tahun sebelumnya (RM45.27 bilion), KKM muncul sebagai penerima kedua terbesar dalam keseluruhan belanjawan negara.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, peningkatan itu menunjukkan komitmen Kerajaan MADANI untuk menjadikan kesihatan sebagai pelaburan masa depan negara, bukan sekadar perbelanjaan sosial semata-mata.
“Belanjawan ini adalah Belanjawan Pro-Kesihatan untuk memperkukuh sistem kesihatan negara secara menyeluruh, bukan dengan langkah kosmetik tetapi melalui reformasi berfasa yang realistik dan mampu dilaksanakan.
“Ia disebut Belanjawan Pro-Kesihatan kerana memecahkan tradisi lama. Selama ini, sistem kesihatan kita lebih bersifat sick care iaitu rawat bila sakit.
“Melalui belanjawan ini, kita akan bergerak ke arah healthcare iaitu menjaga kesihatan rakyat sepanjang hayat melalui pencegahan, akses awal dan rawatan yang lebih cepat serta lebih menyeluruh,” katanya.
Menurut Dr Dzulkefly, KKM memberi tumpuan kepada lima teras utama agar setiap ringgit yang akan dibelanjakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Antaranya kebajikan petugas kesihatan, penambahbaikan prasarana, pengurangan kesesakan hospital, sistem pembiayaan kesihatan yang mampan dan pengukuhan Agenda Nasional Malaysia Sihat.
“Kita mahu frontliners dihargai sewajarnya dan kebajikan mereka dilindungi. Ini bukan soal gaji semata mata, tetapi soal motivasi, maruah profesion dan masa depan perkhidmatan kesihatan negara,” jelas beliau.
Seramai 4,500 doktor kontrak dan 935 jururawat akan diserap ke lantikan tetap bermula tahun depan, manakala RM2.2 bilion turut diperuntukkan bagi menaik taraf kuarters kerajaan untuk petugas kesihatan, serta penjawat awam lain, terutamanya di luar bandar.
Bagi menangani isu kesesakan di hospital kerajaan, Dr Dzulkefly berkata, KKM mengambil pendekatan pelbagai hala (multi-pronged approach).
“Kita tidak boleh selesaikan dengan retorik, kita perlu strategi,” katanya.
Antara langkah yang diambil seperti menaik taraf kapasiti hospital dengan peruntukan RM1.2 bilion untuk penyelenggaraan dan baik pulih, memperkasakan kesihatan primer dengan membawa perkhidmatan pakar ke klinik kesihatan melalui peruntukan RM30 juta.
Selain itu, bagi mempercepatkan akses kepada rawatan, sebanyak RM140 juta diperuntukkan untuk menyumber luar pembedahan dan prosedur rawatan seperti kardiologi, nefrologi dan ortopedik ke hospital swasta dan universiti.
Digitalisasi arah baharu sistem kesihatan
Belanjawan 2026 turut mempercepat agenda pendigitalan sektor kesihatan melalui peluasan Cloud-Based Clinic Management System (CCMS) bernilai RM31.3 juta dan pembangunan sistem Rekod Kesihatan Elektronik (EMR) berteraskan visi One Person, One Record.
Menurut beliau, digitalisasi bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan kerana KKM tidak boleh terus bergantung kepada fail fizikal dengan proses manual yang melambatkan. “Pendigitalan bukan aksesori.
Ia asas kepada sistem kesihatan moden dan future ready. Digitalisasi boleh mengurangkan birokrasi, mengurangkan waktu menunggu, lindungi data pesakit dan mudahkan hidup rakyat,” ujarnya.
Sebanyak 160 klinik kesihatan sudah didigitalisasikan dan menjelang akhir tahun 2025, tambahan 150 fasiliti di Sabah dan Sarawak bakal menyertai sistem tersebut.
Dr Dzulkefly turut menjelaskan, reformasi pembiayaan kesihatan melalui penawaran produk insurans asas kesihatan mampu milik atau MHIT akan dilaksanakan melalui dana bersama Kerajaan–industri berjumlah RM60 juta.
“Pencarum Kumpulan Wang Simpana Pekerja (KWSP) juga boleh menggunakan Akaun Sejahtera untuk melanggan secara sukarela, bagi menikmati perlindungan kesihatan asas yang melengkapi akses kepada perkhidmatan awam sedia ada.
“Langkah ini bukan penswastaan, tetapi pemerkasaan. Kita mahu sistem kesihatan kekal adil dan mampan,” tegasnya.
Penyaluran semula hasil cukai rokok dan minuman keras yang dianggarkan bernilai RM363 juta yang telah ditindikkan (earmarked) untuk KKM juga adalah langkah yang amat dialu-alukan. Hasil ini akan digunakan untuk pelaksanaan inisiatif kesihatan paru-paru, jantung dan diabetes.
Ketelusan tadbir urus
Menjawab persoalan mengenai keberkesanan pelaksanaan belanjawan, Dr Dzulkefly menegaskan bahawa setiap sen mesti dibelanjakan dengan cermat dan berhemah.
“Setiap peruntukan kritikal kini diikat kepada hasil (outcome-based allocation), bukan sekadar menghabiskan duit, tetapi apa natijahnya untuk rakyat.
“Dashboard pelaksanaan belanjawan kesihatan turut akan diwujudkan bagi memantau kemajuan projek secara berkala, selain jawatankuasa khusus untuk memantau pelaksanaan Belanjawan 2026 yang dipengerusikan sendiri oleh Ketua Setiausaha (KSU) KKM,” katanya.
Beliau turut menzahirkan harapan agar sistem kesihatan Malaysia terus berkembang ke arah yang lebih inklusif dan berdaya tahan.
“Saya percaya negara ini berhak memiliki sistem kesihatan yang bermaruah yang mana lebih menjaga rakyat tanpa mengira status dan kemampuan.
“Belanjawan 2026 bukan penamat, tetapi permulaan kepada sesuatu yang lebih besar. It is a good start! Selagi amanah ada di bahu, saya akan pastikan reformasi kesihatan ini dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin, kerana ini bukan untuk kerajaan hari ini sahaja, tetapi untuk masa depan rakyat Malaysia,”katanya.