Pelanggan terkejut, warung langganan rupanya jual bakso babi

Iklan
Kain rentang yang dipasang memaklumkan bahawa warung berkenaan menjual bakso babi. Foto Agensi

YOGYAKARTA – Tindakan berani Majlis Masjid Indonesia (DMI) memasang kain rentang bertulis 'Bakso Babi (Tidak Halal)' di sebuah warung bakso di Ngestiharjo, Kasihan, Bantul, Daerah Istimewa Yogyakarta, mengejutkan penduduk setempat selepas terbongkar bahawa warung berkenaan menjual bakso mengandungi daging babi selama hampir sembilan tahun tanpa sebarang label bukan halal.

Lebih mengejutkan, antara pelanggan tetap warung itu termasuk wanita berhijab yang tidak mengetahui bahawa makanan yang dijual adalah tidak halal.

Iklan
Iklan

Menurut laporan media tempatan, warung berkenaan telah beroperasi sejak tahun 1990-an dan mula menetap di lokasi sekarang sekitar tahun 2016.

Pendedahan itu menimbulkan kekecohan selepas video pemasangan kain rentang tersebut tular di media sosial.

Iklan

Setiausaha DMI Ngestiharjo, Ahmad Bukhori berkata, pihaknya mengambil langkah memasang kain rentang sebagai tanda prihatin terhadap umat Islam agar tidak tersalah membeli makanan tidak halal.

“Kami mula membincangkan perkara ini dalam mesyuarat DMI sekitar Disember 2024. Waktu itu, timbul keresahan dalam kalangan penduduk mengenai kewujudan penjual bakso bukan halal yang tidak memaklumkan status produknya,” katanya ketika dihubungi Tribun Jogja pada Isnin.

Iklan

Tambahnya, ramai pelanggan yang datang ke warung tersebut merupakan orang Islam, malah sebahagiannya wanita bertudung yang tidak mengetahui isi kandungan bakso yang mereka makan.

“Ada penduduk yang tahu bakso itu bukan halal, tetapi tidak semua berani memberitahu pelanggan lain. Kadang-kadang disampaikan, kadang-kadang tidak,” jelasnya.

Susulan aduan dan keresahan yang timbul, pihak DMI mengambil langkah segera awal tahun ini dengan berhubung terus dengan ketua kampung, wakil penduduk setempat serta pemilik warung bagi memastikan status makanan dijelaskan secara terbuka kepada orang ramai.

Kain rentang merah yang dipasang berhampiran warung berkenaan kini jelas memaklumkan bahawa makanan yang dijual mengandungi daging babi dan tidak halal, sekali gus mengelakkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

Langkah tersebut menerima pujian ramai pihak kerana disifatkan sebagai tindakan wajar dan berhemah bagi menjaga sensitiviti agama tanpa menjejaskan hak peniaga bukan Islam.

Pemasangan kain rentang itu juga mencetuskan perbincangan meluas di media sosial mengenai kepentingan pelabelan halal dan tidak halal yang jelas di kawasan berbilang agama seperti Yogyakarta, demi menghormati hak semua pengguna. - Agensi