Malaysia serah Kepengerusian ASEAN kepada Filipina

Iklan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan tukul kepada Presiden Ferdinand R Marcos Jr, yang menjadi simbolik pemindahan kuasa secara rasmi sekali gus membuka lembaran baharu bagi kepimpinan Filipina dalam ASEAN pada 2026. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Malaysia pada Selasa secara rasmi menyerahkan Kepengerusian ASEAN kepada Filipina sekali gus menandakan peralihan kepimpinan secara simbolik ketika Malaysia memasuki fasa terakhir kepengerusian bagi tahun 2025.

Di bawah tema"Keterangkuman dan Kemampanan”, Kepengerusian Malaysia merangkumi lebih 300 mesyuarat sepanjang tempoh jawatannya, dengan beberapa lagi dijadual diadakan sebelum tarikh akhir iaitu 31 Disember ini, yang mencerminkan komitmen negara untuk memajukan kesatuan ASEAN, memperkukuh kerjasama serantau serta meningkatkan daya tahan blok serantau itu.

Iklan
Iklan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan tukul kepada Presiden Ferdinand R Marcos Jr, yang menjadi simbolik pemindahan kuasa secara rasmi sekali gus membuka lembaran baharu bagi kepimpinan Filipina dalam ASEAN pada 2026.

Sejak mengambil alih jawatan itu daripada Laos, Malaysia menumpukan usaha memajukan kesatuan, keterangkuman dan kemampanan ASEAN sepanjang tahun kepengerusiannya.

Iklan

Dua pencapaian penting menandakan kejayaan Kepengerusian Malaysia setakat ini iaitu penyertaan Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 ASEAN serta pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand.

Malaysia turut menerajui penerimaan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Kita Bersama semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada Mei lepas. 

Iklan

Deklarasi itu menyaksikan pencapaian penting dalam komitmen bersama ASEAN serta menggambarkan visi jangka panjang untuk membina komuniti serantau yang lebih berdaya tahan, inovatif, dinamik serta berteraskan rakyat.

Malaysia turut memperkukuh penglibatan ASEAN di peringkat antarabangsa melalui penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China yang pertama dan kedua bagi memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pembangunan mampan selaras dengan aspirasi blok serantau itu untuk memainkan peranan lebih besar dalam landskap geoekonomi Indo-Pasifik.

Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN sejak penubuhan blok serantau itu pada 1967 selepas tahun 1977, 1997, 2005, dan 2015. - Bernama