Bagi ramai rakyat Malaysia, memiliki rumah sendiri bukan sekadar Impian tetapi ia lambang kestabilan hidup dan harapan masa depan keluarga.
Namun bagi golongan B40, M40 dan pekerja gig yang hidup dengan pendapatan tidak menentu, impian itu sering terasa jauh dari genggaman.
Menyedari realiti ini, Kerajaan MADANI menerusi Belanjawan 2026 tampil dengan pendekatan lebih menyeluruh bukan sekadar membina rumah, tetapi membuka peluang untuk rakyat dari segenap lapisan ekonomi memiliki kediaman sendiri dengan mengikut kemampuan dan pendapatan masing-masing.
Perumahan rakyat sebagai tiang kesejahteraan sosial dengan peruntukan RM6.09 bilion kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kerajaan menegaskan agenda perumahan rakyat bukan lagi sekadar janji pilihan raya, tetapi satu tanggungjawab sosial.
Fokus utamanya jelas, membantu keluarga berpendapatan rendah, sederhana dan tidak tetap untuk keluar daripada kitaran sewa membebankan dan hidup dalam rumah selesa, selamat serta bermaruah.
Melalui Program Residensi Rakyat (PRR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR), kerajaan memperuntukkan RM672 juta bagi membina 33,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara.
Projek ini memberi sinar baharu kepada ribuan keluarga B40 yang sebelum ini hanya mampu menyewa di flat lama atau rumah kongsi.
Bagi tenaga pengajar al-Quran, Hafiz Harun, 32, berkata, inisiatif itu memberi sinar harapan buatnya dan keluarga selepas lapan tahun menyewa rumah sejak mendirikan rumah tangga.
Bapa kepada empat anak itu kini menyewa sebuah rumah di Kuala Selangor dengan kadar RM650 sebulan, namun sedang dalam proses memohon rumah mesra rakyat di Hutan Melintang, Perak
"Kalau lulus nanti, bayaran bulanannya sekitar RM200 hingga RM300 saja dan dalam tempoh tertentu kita boleh terus miliki rumah sendiri.
"Bagi saya ini satu usaha baik kerajaan untuk bantu rakyat khususnya golongan M40 dan B40 yang masih menyewa," katanya kepada Sinar Harian.
Hafiz yang berpendapatan kira-kira RM1,500 sebulan hasil mengajar al-Quran secara dalam talian dan bersemuka berkata, memiliki rumah sendiri menjadi impian terbesar buat dirinya demi keselesaan isteri dan anak-anak.
Katanya, dia memilih Kuala Selangor kerana kedudukannya yang strategik berada di tengah antara tempat asalnya di Klang dan kampung isterinya di Perak.
"Tempat ini masih ada suasana kampung tapi dekat juga dengan bandar sesuai untuk saya yang nak cari rezeki tak terlalu jauh dari keluarga,” ujarnya.
Mengulas mengenai peruntukan RM6.09 bilion yang diumumkan kerajaan bagi inisiatif perumahan rakyat dalam Belanjawan 2026, Hafiz berharap agihan dilakukan dengan telus kepada mereka yang benar-benar layak.
Hafiz menambah, dia kini menunggu kelulusan permohonan rumah itu selepas menyerahkan beberapa dokumen dan mendapatkan tandatangan penama daripada ahli keluarga.
"Saya dah usaha isi borang dan lengkapkan semua syarat dan harap ada rezeki untuk kami tahun ini," tambahnya.
Satu lagi langkah besar dalam Bajet 2026 ialah peluasan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dengan peningkatan nilai jaminan daripada RM10 bilion kepada RM20 bilion.
Langkah itu menyasarkan 80,000 pembeli rumah pertama dalam kalangan pekerja gig, peniaga kecil dan mereka yang bekerja sendiri iaitu golongan yang selama ini dipinggirkan oleh sistem kewangan konvensional kerana tiada slip gaji tetap.
Bagi penghantar makanan, Mohd Fakhrul Naim, 24, menyifatkan bantuan kerajaan kepada pekerja gig untuk memiliki rumah sebagai langkah tepat membantu golongan muda sepertinya.
"Sekarang menyewa pun bayar tiap bulan, jadi kalau kerajaan bantu bagi peluang beli rumah dengan bayaran rendah, baik terus miliki rumah sendiri," jelasnya.
Menurutnya, inisiatif diumumkan kerajaan menerusi Belanjawan 2026 memberi sinar baharu kepada pekerja sektor tidak formal yang selama ini berdepan kesukaran mendapatkan pinjaman perumahan.
"Bagi saya ini langkah baik sebab ramai pekerja gig macam saya belum ada slip gaji tetap. Kalau ada skim khas atau bantuan kerajaan, sekurang-kurangnya kami pun ada peluang nak beli rumah sendiri,” katanya.
Mohd Fakhrul yang baru setahun bekerja sepenuh masa berkata, dia kini menetap di Kapar bersama isteri dan seorang anak dengan menyewa rumah kecil.
Katanya, bantuan seumpama itu mampu mengubah nasib ramai anak muda yang bekerja sendiri, asalkan kadar bayaran bulanan tidak membebankan.
Seorang lagi penghantar makanan, Muhammad Muqaddis Sri Mohd, 26, berkata, sebelum ini dia hanya mampu menyewa rumah RM400 sebulan kerana tidak layak memohon pinjaman bank untuk memiliki kediaman sendiri.
"Apabila kerajaan beri peluang ini, sekurang-kurangnya kami pun rasa terjamin untuk masa depan keluarga,” katanya.
Muhammad Muqaddis berkata, inisiatif kerajaan membantu pekerja gig untuk memiliki kediaman memberi harapan baharu kepada mereka untuk keluar daripada kitaran sewa bulanan.
“Sekurang-kurangnya tak perlu fikir sampai bila hendak menyewa kerana kita yakin kerajaan sedia membantu kami memiliki kediaman sendiri," jelasnya.