PETALING JAYA - NQ Cultural Commercial Sdn Bhd (NQCC) menerusi Asia’s Kids Star Brand Collaboration & Mutual Partnership Launch Conference membuka ruang kerjasama baharu antara institusi pendidikan seni dan rakan strategik dari seluruh Malaysia.
Langkah itu bertujuan memperkukuh pertukaran budaya serta pembangunan bakat kanak-kanak di peringkat Asia melalui kolaborasi pendidikan dan seni rentas sempadan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif NQCC, Dr Mazlan Goh Ahmad Goh, inisiatif Asia’s Kids Star membentuk ekosistem pendidikan seni serantau yang menghubungkan pelbagai institusi, platform persembahan dan sumber jenama di rantau ini.
“Matlamat kami ialah memberi peluang kepada kanak-kanak Asia untuk menonjolkan bakat dan kreativiti di peringkat antarabangsa,” katanya sempena pelancaran Asia’s Kids Star Special TV Program di sini pada Selasa.
Kemuncak acara menyaksikan pelancaran Asia’s Kids Star Special TV Program, hasil kerjasama antara NQCC dan Beijing Television, yang bakal menampilkan kanak-kanak berbakat Malaysia di kaca televisyen antarabangsa.
“Kerjasama ini bukan sahaja menghubungkan Malaysia dan China dalam bidang seni, tetapi turut membuka laluan baharu kepada bakat muda negara ke pentas global,” ujar Dr Mazlan Goh.
Beliau turut menegaskan komitmen NQCC untuk terus memperluas pengaruh Asia’s Kids Star sebagai platform utama yang menghubungkan seni kanak-kanak Asia dengan dunia, serta melahirkan generasi muda yang kreatif, yakin dan berdaya saing di peringkat global.
Terdahulu, Presiden Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MiTDA), Kapten Mahadzir Tan Sri Mansor dalam ucapannya berkata, platform tersebut memberi peluang besar kepada anak-anak Malaysia untuk mengembangkan bakat di China.
“Inilah peluang yang sangat berharga, bukan sahaja menyerlahkan kemampuan mereka tetapi juga memperkukuh pertukaran budaya dan kepelbagaian di Malaysia,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan inisiatif itu sebagai pemangkin kepada diplomasi budaya dan potensi pelancongan negara.
“Gabungan seni, budaya dan pendidikan ini mampu membuka peluang pelancongan baharu serta memberi nilai tambah kepada rakyat Malaysia,” tambahnya.
Hadir sama, Naib Presiden MiTDA, Prof Datuk Azli Halim; Pengasas Green Wellness (M) Sdn Bhd, Datin Dorph Peng Wen Yin; Ketua Pegawai Eksekutif Pudding Video Production Studio, Vivi Ng; Pengarah MUSICPRENEUR Education, Lua Hooi Ching; dan Pengarah filem You Are My Son, Jimz Lee.
Majlis turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara NQCC dan beberapa institusi pendidikan seni termasuk Wuhoo Dance Studio, Vivace Dance Academy, Dreamz Art Academy serta beberapa lagi pihak.
Hadirin juga dibawa melawat NQ’s 3D Film Studio, yang diiktiraf dengan status Malaysia Digital (MD) oleh kerajaan Malaysia, bagi melihat teknologi penerbitan digital terkini.