Perjanjian Perdagangan Timbal Balas perkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian global

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Isnin mengenai Mohamed Azmin yang menyifatkan ART sebagai satu bentuk penyerahan kedaulatan ekonomi. Gambar kecil: Danish

SHAH ALAM - Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang ditandangani Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) bukanlah satu bentuk penyerahan kedaulatan sebagaimana didakwa, sebaliknya alat bagi memperkukuh kedudukan negara dalam rantaian bekalan global.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin menyifatkan dakwaan yang dibuat Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu sebagai dangkal.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Mohamed Azmin dilihat gagal memahami realiti ekonomi global dan arah diplomasi moden yang sedang dibina oleh Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Malaysia hari ini merupakan antara 25 ekonomi paling terbuka di dunia dengan perdagangan antarabangsa melebihi 130 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Iklan

“Dalam konteks globalisasi, dasar kerjasama strategik lebih menjamin kemandirian ekonomi berbanding sikap memencilkan diri seperti yang diamalkan pentadbiran dahulu ketika Azmin sendiri gagal menandatangani sebarang perjanjiian perdagangan bebas (FTA) baharu.

“Perjanjian ART memberi Malaysia kelebihan strategik dari segi akses pasaran, teknologi dan pelaburan bernilai tinggi khususnya dalam sektor semikonduktor dan nadir bumi. Malaysia kini menjadi sebahagian daripada rantaian global yang membekalkan bahan mentah kepada industri teknologi hijau dunia dengan kawalan pengeluaran kekal di bawah undang-undang tempatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Tambah Danish, di bawah perjanjian itu, Malaysia menikmati tarif rendah dan pasaran eksport baharu lebih 1,700 barangan Malaysia menikmati kadar tarif sifar atau rendah di pasaran AS, sekali gus merangsang eksport perusahaan kecil dan sederhana serta sektor pembuatan bernilai tambah tinggi.

Jelasnya, fakta itu menolak naratif kononnya Malaysia menyerahkan ekonomi sebaliknya memanfaatkan peluang global secara bijaksana dan berdaulat.

“Kerajaan Madani memilih pendekatan matang dengan membina kerjasama pelbagai hala tanpa tunduk kepada mana-mana kuasa besar dunia.

“Malaysia kekal neutral, terbuka kepada pelaburan dari AS, China, Jepun dan Kesatuan Eropah namun tidak menggadaikan dasar luar berkecuali yang menjadi teras sejak zaman bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein.

“Kedaulatan bukanlah slogan kosong tetapi memberi erti besar dalam hak menentukan dasar ekonomi dan sosial tanpa paksaan luar,” ujar beliau.

Danish menjelaskan, semua dasar eksport termasuk mineral strategik kekal di bawah bidang kuasa kerajaan Malaysia.

Selain itu, Malaysia bebas meneruskan hubungan perdagangan dengan China, ASEAN, BRICS dan negara-negara Selatan Global tanpa sebarang sekatan daripada AS.

Justeru katanya, Kerajaan Madani bukan tunduk kepada AS, sebaliknya mengimbangi hubungan kuasa besar dunia melalui dasar luar bebas yang matang, terbukti dengan hubungan erat Malaysia dengan BRICS, ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan rakan serantau lain dalam isu Gaza, perdagangan dan pembangunan lestari.

“Kenyataan Azmin hanya memperlihatkan sikap politik lama yang cuba menakut-nakutkan rakyat dengan retorik anti-barat sedangkan realitinya, dunia kini memerlukan kerjasama strategik untuk menghadapi cabaran ekonomi hijau, digital dan geopolitik baharu.

“Malaysia kini berada di landasan kukuh sebagai ekonomi progresif, berdaya saing dan berdaulat di bawah kepimpinan Kerajaan Madani,” katanya.