KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Rakyat Malaysia kini berada dalam kelompok pengguna internet paling aktif di rantau ini dengan purata lapan jam sehari melayari dunia maya, menurut laporan Ipsos Digital 2025.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, data tersebut mencerminkan tahap keterhubungan digital rakyat yang tinggi, namun pada masa sama menuntut tanggungjawab lebih besar dalam penggunaan teknologi dan komunikasi harian.
"Dengan kebebasan digital yang kita nikmati hari ini, (ia) datang bersama tanggungjawab yang besar.
"Tahun lalu sahaja, Kementerian Komunikasi menerima lebih 15,000 aduan berkaitan kandungan berbahaya, berita palsu dan jenayah siber,” katanya dalam ucapan perasmian Biennial International Conference on Media & Communications 2025 (MENTION2025) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini pada Selasa.
Teks ucapan tersebut dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa.
Turut hadir, Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM, Profesor Dr Kadaruddin Aiyub; Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman dan Pengarah Persidangan MENTION2025, Dr Arina Anis Azlan.
Fahmi menegaskan, keadaan itu membuktikan literasi media dan komunikasi bertanggungjawab bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan asas dalam memastikan kelangsungan masyarakat digital negara.
“Kita perlu melahirkan rakyat yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga bijak menilai kesahihan maklumat serta memahami tanggungjawab sebagai pengguna dan pencipta kandungan,” katanya lagi.
Dalam konteks itu, beliau menjelaskan bahawa Kementerian Komunikasi terus menerapkan pendekatan Social Behaviour Change Communication (SBCC) dalam kempen nasional, termasuk kesihatan awam, kelestarian alam sekitar dan perpaduan negara.
“Kita telah melihat bagaimana komunikasi strategik memainkan peranan penting semasa pandemik Covid-19, dalam kempen pengurangan plastik sekali guna dan dalam memperkukuh perpaduan masyarakat majmuk melalui naratif media yang inklusif,” ujarnya.
Beliau menambah, cabaran terbesar kini ialah penularan maklumat palsu yang bukan sahaja mencemar ekosistem maklumat tetapi turut menjejaskan keharmonian sosial serta keselamatan negara.
“Justeru, kementerian sedang merangka beberapa kerangka dasar baharu termasuk penguatkuasaan Akta Anti-Berita Palsu yang lebih komprehensif, garis panduan etika untuk pempengaruh media sosial serta kerangka penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam media,” ujarnya.
Menurutnya, langkah itu akan memastikan teknologi digunakan secara beretika dan tidak disalah guna bagi menyebarkan maklumat palsu atau mengganggu ketenteraman awam.
Fahmi juga menekankan keperluan memperkukuh literasi digital dalam kalangan generasi muda supaya mereka bukan sekadar pengguna tetapi turut berperanan sebagai ejen perubahan sosial yang positif.
“Generasi muda ialah ‘digital natives’ yang memahami platform digital dengan lebih mendalam.
"Kita perlu memberi mereka ruang bersuara sambil membimbing mereka agar menjadi pengguna yang bertanggungjawab,” katanya.
Beliau dalam masa sama menyeru kerjasama menyeluruh antara kerajaan, ahli akademik, industri media dan masyarakat sivil bagi membangunkan dasar komunikasi yang holistik dan berkesan.
“Pendekatan menyeluruh ini penting supaya transformasi media dan komunikasi bergerak seiring dengan aspirasi Malaysia Madani,” tegasnya.
Fahmi turut mengiktiraf peranan UKM, khususnya Pusat Penyelidikan Media dan Komunikasi yang meraikan ulang tahun ke-50 tahun ini, sebagai antara institusi yang banyak menyumbang kepada pembangunan tenaga profesional media negara.
Beliau berharap, hasil perbincangan dalam MENTION2025 akan melahirkan cadangan konkrit yang boleh dimanfaatkan oleh pembuat dasar, pengamal industri dan ahli akademik dalam memperkukuh ekosistem komunikasi negara.
“Marilah kita bersama menjadikan media dan komunikasi sebagai instrumen perubahan positif yang membawa kesejahteraan kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.