‘Prabowo pulang awal ekoran jadual padat, bukan sebab silap RTM’

Iklan
Prabowo sewaktu menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang-sidang berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Foto Facebook rasmi Prabowo

SHAH ALAM- Presiden Indonesia, Prabowo Subianto terpaksa memendekkan lawatannya ke Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 kerana agenda padat domestik dan bukannya disebabkan kesilapan pengulas Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyebut nama beliau.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono berkata, perkara berkenaan dimaklumkan oleh jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Yvonne Mewengkang.

Iklan
Iklan

“Ia tiada kaitan langsung dengan kesilapan sebutan namanya oleh pengulas (RTM),” katanya sebagaimana dilaporkan portal Free Malaysia Today (FMT).

Pada Ahad lalu, RTM memohon maaf atas kesilapan pengulasnya yang tersilap menyebut nama Presiden Republik Indonesia itu ketika siaran langsung Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang-sidang berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Iklan

Dalam satu kenyataan, Bahagian Perhubungan Awam Jabatan Penyiaran Malaysia memaklumkan hasil siasatan dalaman mendapati pengulas berkenaan secara tidak sengaja menyebut nama Joko Widodo, sedangkan Presiden Indonesia ketika ini merupakan Prabowo Subianto.

Sementara itu, berdasarkan laporan The Jakarta Post, Prabowo hadir Sidang Kemuncak ASEAN-AS pada Ahad, di mana Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi mengesahkan komitmen Washington terhadap Indo-Pasifik selepas menyatakan AS 100 peratus menyokong Asia Tenggara.

Iklan

Menurut laporan berkenaan, walaupun Prabowo pada awalnya merancang hadir sepanjang tempoh sidang kemuncak tiga hari tersebut, namun beliau memutuskan memendekkan lawatannya petang Isnin selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Korea Selatan ke-26, Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga ke-28 dan majlis resepsi bagi memperingati kemasukan Timor-Leste dalam kumpulan serantau itu.

Selepas keberangkatan pulang Prabowo, beliau diwakili beberapa menteri Kabinetnya, termasuk Menteri Luar Negeri, Sugiono dan Menteri Penyelaras Ekonomi, Airlangga Hartarto.