Empat lelaki gaduh rebut teman wanita didenda RM800

Iklan
Partiben (tengah) bersama dua tertuduh hadir ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada Selasa.

SHAH ALAM – Empat lelaki termasuk warga emas yang tular dalam kes bergaduh kerana teman wanita minggu lalu, didenda masing-masing RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.

Yap Sin Huat, 69; Che Kim Cing, 44; Gan Yan Ging, 22, dan See Yi Boon, 22, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama telah melakukan gaduh gempar di tempat awam dan mengganggu ketenteraman awam di tepi jalan Bandar Setia Alam di sini pada jam 3.30 petang 23 Oktober lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 jika sabit kesalahan.

Iklan

Semasa prosiding, peguam, M Partiben dan Mohd Safwan Saleh termasuk peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), James Chan memberitahu anak guam mereka insaf, menyesal dan tidak akan mengulangi perbuatan itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Khawarizmi Azfar mencadangkan semua tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Iklan

Pada 24 Oktober, Sinar Harian melaporkan, tiga individu ditahan sementara seorang lagi diburu bagi membantu siasatan kes gaduh di Jalan Setia Y U13/Y Bandar Setia Alam di sini yang berpunca kerana berebut teman wanita.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, laporan kejadian itu diterima pada jam 3.51 petang Khamis melibatkan pergaduhan empat lelaki tempatan.