[VIDEO] Guru warden asrama diberi pengecualian tugas kokurikulum – Kah Woh

Iklan

SHAH ALAM – Guru yang dilantik sebagai warden asrama diberi beberapa pengecualian, termasuk penglibatan dalam aktiviti kokurikulum yang diminimumkan bagi meringankan beban tanggungjawab mereka dalam sesi persekolahan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, selain itu, warden turut dikecualikan daripada dilantik sebagai guru kelas dan tidak perlu mengajar pada waktu pertama dalam sesi pembelajaran.

Iklan
Iklan

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga telah memperluaskan pelantikan warden asrama kepada semua kakitangan bukan guru Gred 1 dan ke atas di sekolah bawah KPM.

“Pada masa sama, pihak KPM pada 22 Oktober lalu telah pun mengumumkan salah satu inisiatif baharu, iaitu seramai 600 orang pembantu warden asrama sepenuh masa akan dilantik dalam kalangan personel MySTEP.

Iklan

“Usaha itu bertujuan meningkatkan pemantauan keselamatan dan mengurangkan beban tugas warden sedia ada,” katanya ketika sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Kah Woh

Iklan

Kah Woh berkata, pada tahun hadapan, KPM akan memberikan keutamaan kepada pelaksanaan latihan Psychological First Aid (PFA) menerusi kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Usaha ini juga akan disebarkan melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing. KPM turut memperkukuh pelaksanaan Program Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB), yang mendedahkan guru kepada ilmu asas psikologi dan kaunseling,” ujarnya.

Menurut beliau, KPM turut melaksanakan program saringan minda sihat bagi memantau tanda awal kesihatan emosi pelajar.

“Segala pemantauan dan kajian keberkesanan pelaksanaan akan dipantau di peringkat KPM dan JPN bagi memastikan guru kita bersedia membimbing dan membantu anak-anak kita,” katanya.