Tiga anggota polis disiasat kes ugut remaja, kertas siasatan dirujuk DPP

Iklan
Fadil

KUALA LUMPUR - Kertas siasatan berkaitan tiga anggota polis yang ditahan pada 18 September lalu bagi membantu siasatan dakwaan melakukan ugutan terhadap seorang remaja perempuan untuk melakukan hubungan terlarang, telah dilengkapkan dan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada Selasa.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan tatatertib ke atas tiga anggota polis yang terlibat dijalankan selari dengan siasatan oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

"Kertas siasatan telah dilengkapkan dan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan selanjutnya.

"Cadangan polis adalah untuk menuduh semua anggota tersebut di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan, manakala salah seorang daripada mereka turut dituduh mengikut Seksyen 354 akta sama," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Fadil berkata, anggota polis yang terlibat masih lagi bertugas tetapi tidak melibatkan tugasan di lapangan.

"Mereka akan ditahan kerja setelah mendapat arahan untuk dituduh," katanya.

Iklan

Pada 19 September lalu, media melaporkan siasatan kes itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) JSJ Kuala Lumpur.

Sebelum itu, tular di media sosial laporan polis yang dibuat oleh pelajar berusia 18 tahun terbabit yang mendakwa diugut oleh seorang anggota polis untuk melakukan hubungan seksual sekiranya mahu dibebaskan.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi, Rabu, pelajar bersama teman lelakinya dikatakan ditahan di hadapan sebuah restoran di Sentul dan telefon bimbit mereka dirampas untuk pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan, mereka dikatakan melakukan kesalahan dan akan ditahan untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun, salah seorang anggota polis terbabit dikatakan mengajak gadis terbabit melakukan hubungan bersamanya sekiranya mahu dia dan teman lelakinya dibebaskan, namun ajakan itu ditolak.

Susulan itu, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul oleh pelajar terbabit pada hari sama.