Dua pegawai bank didakwa terima suapan lebih RM58,000

Iklan
Kedua-dua tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen pada Selasa.

MELAKA – Dua pegawai bank dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas tuduhan menerima suapan berjumlah lebih RM58,000 bagi memudahkan urusan pinjaman peribadi pelanggan melebihi had kelayakan yang dibenarkan.

Tertuduh, Syamime Hazreen Bahrin, 37, yang masih berkhidmat sebagai penasihat kewangan di sebuah bank di Kuala Lumpur, berdepan lima pertuduhan menerima rasuah berjumlah keseluruhan RM50,581.51. Manakala Nursyafiqah Abdul Latif, 29, bekas Eksekutif Pembiayaan Pengguna di sebuah bank cawangan Ampang Point, berdepan dua pertuduhan melibatkan jumlah RM8,000.

Iklan
Iklan

Kedua-dua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, Syamime didakwa menerima wang suapan melalui beberapa transaksi dalam talian ke akaun bank miliknya di sebuah bank di Jalan Hang Tuah di sini, antara 8 Disember 2022 hingga 15 Julai 2024.

Iklan

Wang itu dipercayai sebagai ganjaran kerana membantu memproses pembiayaan peribadi lima pelanggan sebuah syarikat secara serentak dengan beberapa permohonan lain di institusi kewangan berbeza, hingga menyebabkan jumlah pinjaman mereka melebihi had kelayakan sebenar.

Sementara itu, Nursyafiqah pula dituduh menerima dua bayaran rasuah berjumlah RM8,000 daripada seorang lelaki melalui pindahan wang dalam talian ke akaun bank miliknya di sebuah bank di Masjid Tanah, Alor Gajah, pada 7 Ogos dan 9 September 2023.

Iklan

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama. Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Sharina Farhana Nor Sa’ari, menawarkan jaminan antara RM20,000 hingga RM25,000 terhadap Syamime Hazreen dan RM7,000 bagi Nursyafiqah, masing-masing dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut membenarkan permohonan supaya kedua-dua tertuduh melapor diri ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya sebulan sekali serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Peguam bela, Emile Ezra Hussain yang mewakili Syamime, dan M. Manoharan bagi pihak Nursyafiqah, memohon agar jumlah jaminan dikurangkan.

Hakim kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM17,000 terhadap Syamime dan RM7,000 bagi Nursyafiqah, serta menetapkan sebutan semula kes pada 3 Januari tahun depan.

Mahkamah turut bersetuju dengan syarat tambahan yang dipohon oleh pihak pendakwaan.