‘Kulim’ lekat sejak universiti, Nur Izzaty bangga jadi duta tak rasmi bandar asal

Iklan
Nur Izzaty (kanan) melakukan aktiviti kayak bersama rakan-rakannya.

SHAH ALAM – Nama panggilan ‘Kulim’ bukan sekadar gelaran biasa bagi seorang penuntut Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Nur Izzaty Mohd Rustam, 20, tetapi sudah menjadi identiti dirinya sejak dua tahun lalu.

Menurut penuntut jurusan Perniagaan Antarabangsa itu, gelaran berkenaan bermula ketika beliau menyambung pengajian di peringkat ijazah dan mula dipanggil oleh rakan sebiliknya.

Iklan
Iklan

Katanya, panggilan itu kemudian tersebar kepada rakan-rakan lain di kolej dan akhirnya menjadi nama panggilan tetap yang digunakan oleh hampir semua kenalannya di kampus.

“Nama panggilan itu bermula semasa saya masuk universiti. Rakan sebilik yang memulakan panggilan itu dahulu, kemudian apabila semakin ramai, maka semua mula memanggil saya ‘Kulim’.

Iklan

“Sehingga kini, saya masih menggunakan panggilan sama dan nama ‘Kulim’ itu sudah melekat sejak semester pertama hingga semester kelima sekarang ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Nur Izzaty (kanan) bersama rakan-rakannya.

Iklan

Sebelum ini, video dikongsikan Nur Izzaty menerusi akaun TikTok miliknya mendapat 283,000 tontonan dan 10,700 tanda suka.

Bagaimanapun, menurut Nur Izzaty, hanya rakan-rakan memanggil gelaran tersebut, manakala pensyarah memanggilnya menggunakan nama sebenar.

Menariknya, Nur Izzaty tidak pernah terasa hati dengan gelaran itu, sebaliknya menganggapnya sebagai satu bentuk penghargaan dan kebanggaan terhadap tempat asalnya.

“Saya tidak kisah pun orang panggil ‘Kulim’, malah saya berbangga sebab boleh bawa nama tempat sendiri. Boleh kata saya ini seperti duta tidak rasmi Kulim,” ujarnya lagi.

Beliau juga memberitahu, ada dalam kalangan rakan yang bertanya mengenai tempat menarik di Kulim selepas panggilannya tular.

“Ramai bertanya ada apa yang menarik di Kulim, jadi sambil orang kenal saya, dapat juga saya promosi tempat sendiri,” katanya.

Izzaty yang merupakan anak keempat daripada lima beradik berkata, panggilan ‘Kulim’ sama sekali tidak memberi kesan negatif kepadanya, malah diterima dengan hati terbuka.

“Saya anggap nama panggilan itu sebagai sesuatu yang positif dan menyeronokkan. Asalkan orang tahu saya dari Kulim, saya pun gembira,” katanya.