BANGKALAN - Seorang mahasiswa Universiti Trunojoyo Madura (UTM) di Bangkalan, Jawa Timur, bertindak nekad apabila menyamar sebagai wanita menggunakan hijab untuk memasuki asrama wanita demi menemui bekas kekasihnya.
Suspek berusia 21 tahun itu, dikenali dengan nama MAF, dilihat memakai hijab dan keluar dari kawasan asrama sebelum ditahan oleh penduduk serta polis pada Khamis.
Video kejadian tersebut tular di media sosial.
Menurut laporan DetikJatim pada Isnin, kes berkenaan tidak dibawa ke muka pengadilan, namun suspek diarahkan menandatangani surat persetujuan bahawa dia tidak akan mengulangi perbuatannya.
“Kebetulan anggota kami sedang menjalankan rondaan dan nampak orang berkumpul.
"Setelah disahkan ada kejadian mahasiswa menyamar, anggota segera mengamankan suspek bersama salah seorang penghuni asrama untuk diambil keterangan,” kata Pegawai Penerangan Polis Bangkalan, Inspektor Agung.
Siasatan mendapati tindakan MAF dilakukan semata-mata untuk meminta maaf kepada bekas kekasihnya berusia 21 tahun.
Polis tidak menemui sebarang senjata atau alkohol, sebaliknya suspek hanya membawa makanan ringan sebagai buah tangan. - Agensi