DALAM kehidupan ini, kadangkala cabaran itu wujud bukannya disebabkan faktor luaran, sebaliknya ia datang dari dalam diri kita sendiri.
Begitu juga dengan dunia pekerjaan, tak semua halangan datang daripada tugasan yang menimbun atau bos yang cerewet, bahkan kadang-kadang ujian yang paling besar itu muncul daripada rakan sekerja sendiri.
Melalui pengalaman Merak Jalanan, di mana-mana pun pasti ada jenis manusia yang cukup ‘berbakat’ dalam menyusahkan hidup orang lain.
Sebagai contoh, datang kerja lambat, ‘mengular’, balik awal dan sebagainya.
Namun apabila bos meminta laporan, nama dia tetap ada dalam senarai pasukan, kononnya sama-sama buat kerja, padahal yang lain siang malam bertungkus-lumus menyiapkannya.
Paling ‘legend’, ada jenis yang pandai berlakon, di depan bos dialah yang paling rajin dan berdedikasi.
Bila bos berpaling saja, semua kerja diserahkan kepada orang lain. Bila ditegur katanya ‘kerja berpasukan’, tapi hakikatnya dia sekadar menumpang hasil titik peluh rakan sepejabat.
Lebih parah ada yang suka tabur cerita, menanam rasa tidak puas hati, kononnya orang lain tidak bekerjasama, padahal dialah punca sebenar suasana pejabat jadi tegang dan hilang semangat.
Merak Jalanan cuma nak pesan, tempat kerja bukan pentas drama. Semua orang datang cari rezeki, bukan cari masalah.
Kalau kita tak boleh bantu meringankan beban kerja orang lain, janganlah pula menambah berat.
Bos pun perlu peka. Jangan hanya pandang siapa yang pandai bercakap manis, tapi lihat siapa yang benar-benar bekerja.
Sebab kadang-kadang, yang diam itulah yang paling banyak berjasa.
Merak Jalanan bukan nak mengata sesiapa, namun ia perkara pahit yang perlu ditelan dan diambil tindakan seterusnya, bukan semata-mata membiarkan suasana kerja toksik berterusan.