SHAH ALAM - Bilangan kenderaan terbiar yang meningkat saban tahun menjadi sampah tersembunyi di kawasan perumahan dan parkir awam sehingga mencemar persekitaran dan mencacat imej bandar.
Namun di sebalik cat lusuh dan besi berkarat, tersimpan puluhan komponen bernilai yang boleh dikitar semula, menjadikannya berpotensi untuk berubah daripada sisa menjadi sumber.
Kenderaan terbiar mengandungi pelbagai bahan yang boleh digunakan semula antaranya logam, plastik, kaca, getah, cecair dan komponen elektronik.
Keluli, aluminium, cermin, tayar, bateri dan minyak pula dijadikan bahan mentah industri, sekali gus mengurangkan pembaziran sumber dan menyokong pertumbuhan industri kitar.
Justeru, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sejak 2021 melaksanakan Dasar Kenderaan Tamat Hayat bagi mengurus pelupusan kereta terbiar secara sah dan mesra alam.
Semua kenderaan ditarik diserah kepada syarikat berlesen yang diluluskan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk dilerai dan dikitar semula. Kemudahan rawatan berlesan pertama di Malaysia ialah Car Medic Sdn Bhd.
Beroperasi di Kajang Technology City sejak 2020, syarikat itu menggunakan proses pelupusan sistematik berasaskan piawaian alam sekitar bagi memastikan tiada pencemaran berlaku.
Pengarah bersama Car Medic Sdn Bhd, Kwan Kian Heng dan Kwan Joey menjelaskan setiap kenderaan yang dilupus menerima sijil pelupusan sebagai bukti sah.
“Kami guna sistem nyahpencemaran automatik yang mengekstrak semua cecair dalam masa 10 minit, diikuti proses peleraian manual selama 20 minit,” kata mereka kepada Media Selangor .
Sebenarnya, isu kenderaan terbiar berlarutan meski pihak berkuasa tempatan (PBT) menerima pelbagai aduan penduduk ekoran kekangan kuasa penguatkuasaan dan prosedur pelupusan rumit.
Kerajaan Selangor ada berbincang dengan kerajaan persekutuan bagi meminda undang-undang berkaitan pelupusan kenderaan bagi mewujudkan mekanisme lebih mudah, jelas dan berkesan.
Menurut Exco kerajaan tempatan, kelewatan pelupusan bukan kerana kelemahan PBT, sebaliknya ia berpunca daripada undang-undang lapuk dan prosedur berlapis antara pelbagai agensi.
Dato’ Ng Suee Lim menjelaskan proses menarik kenderaan hingga ke pelupusan melibatkan banyak agensi termasuk polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan syarikat insurans.
"Ia rumit dan memakan masa lama,” katanya sambil menambah kerajaan negeri bekerjasama dengan kementerian tertentu bagi menyelaras garis panduan seragam selain meminda akta berkaitan.
Beliau berkata walaupun PBT ada kuasa menarik kenderaan, kekaburan beberapa klausa undang-undang menyebabkan pelupusan sukar dibuat kerana bimbang disaman pemilik kenderaan.
“Kenderaan yang sudah ditarik pula terpaksa disimpan lama di garaj kerana proses pelupusan terlalu panjang,” katanya.