‘Bukan perjanjian timbal balik tapi penyerahan kedaulatan ekonomi’- Azmin

Iklan
Mohamed Azmin Ali

SHAH ALAM – Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang ditandatangani Malaysia dilihat bukanlah satu bentuk timbal balik seperti yang digambarkan, sebaliknya merupakan satu bentuk penyerahan terhadap Amerika Syarikat (AS).

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Malaysia memberikan terlalu banyak kawalan terhadap ekonominya manakala AS kekal bebas menentukan dasar yang menguntungkan industri mereka sendiri.

Iklan
Iklan

Malah, beliau berpandangan bahawa perjanjian tersebut mengehadkan hak negara untuk membuat keputusan secara bebas dengan memaksa Malaysia mematuhi peraturan ditetapkan oleh AS dalam bidang perdagangan, pelaburan dan perundangan.

“Apa yang digambarkan sebagai ‘perkongsian timbal balik’ sebenarnya merupakan kehilangan kedaulatan ekonomi dan ruang dasar negara.

Iklan

“Salah satu klausa paling merugikan ialah Artikel 5.1, yang mewajibkan Malaysia mengikut sekatan perdagangan atau sekatan ekonomi AS terhadap negara lain.

“Sekiranya Washington memutuskan untuk menyekat import dari China atau Rusia, Malaysia juga mesti berbuat demikian walaupun tindakan itu memudaratkan ekonomi kita sendiri,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Tambah Mohamed Azmin, klausa tersebut juga memaksa Malaysia memilih pihak dalam konflik antarabangsa yang bukan urusan negara ini, sekali gus menghancurkan dasar berkecuali yang telah lama menjadi kekuatan Malaysia.

“Dengan menyelaraskan dasar kita kepada keputusan AS, perjanjian ini turut menjejaskan keyakinan pelabur yang menghargai peranan Malaysia sebagai rakan kongsi neutral dan stabil di rantau ini,” tegasnya.

Selain itu, beliau menyifatkan ART turut menyempitkan kuasa Malaysia untuk mengawal selia pasaran dalam negara.

Jelasnya, ia memaksa agensi kerajaan menerima piawaian AS dalam sektor makanan, ubat-ubatan dan automotif, malah turut melemahkan sistem pensijilan halal negara apabila pihak pensijilan luar turut diiktiraf.

“Lebih membimbangkan, perjanjian ini melarang Malaysia mengenakan cukai ke atas syarikat teknologi global atau mewajibkan mereka menyimpan data di dalam negara, sekali gus menyerahkan kawalan terhadap ekonomi digital kita kepada pihak luar.

“Beberapa manfaat jangka pendek yang dijanjikan tidak sebanding dengan kemudaratan jangka panjang yang bakal dihadapi.

“Pelaksanaan ART bukanlah langkah untuk memperkukuh Malaysia, sebaliknya ia menandakan penyerahan kedaulatan, kehilangan dasar berkecuali dan masa depan ekonomi negara yang terancam,” katanya.