Azlan Al Amin, lima individu didakwa kes gaduh, khianat

Iklan
Enam individu termasuk seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dihadapkan di Mahkamah Sesyen Besut atas pertuduhan melakukan khianat dan mencederakan mangsa dalam kes pergaduhan tular di media sosial pada 23 Oktober lalu.

BESUT – Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk bersama adiknya dan empat lagi individu lain dihadapkan di Mahkamah Sesyen Besut di sini pada Isnin atas dakwaan terlibat dalam kes pergaduhan dan perbuatan khianat pada 23 Oktober lalu.

Tertuduh, Mohamad Azlan Abdullah @ Ali, 38 atau lebih dikenali sebagai Azlan Al Amin, dan adiknya, Mohd Mustakim Abdullah @ Ali, 31 didakwa dengan sengaja melakukan perbuatan khianat sehingga menyebabkan kerosakan pada kereta Perodua Bezza milik seorang wanita.

Iklan
Iklan

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah di Kampung Pengkalan Buluh, Jalan Tok Raja, di sini kira-kira jam 11 malam pada 23 Oktober lalu.

Enam individu termasuk seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dihadapkan di Mahkamah Sesyen Besut atas pertuduhan melakukan khianat dan mencederakan mangsa dalam kes pergaduhan tular di media sosial pada 23 Oktober lalu.

Iklan

Mereka didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fadhli Mahmud.

Iklan

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi serta menetapkan pada 24 November depan bagi sebutan semula kes di Mahkamah Majistret di sini.

Sementara itu, Mohd Mustakim turut berdepan satu lagi pertuduhan bersama tiga individu lain iaitu Ramli Mohd, 56; Muhammad Shafiq Hakimi Hussain, 21; dan Muhammad Haiqal Mirzan Mohd Mazli, 23 atas kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Wan Hafizie Wan Mohamad, 36 di lokasi dan masa yang sama.

Mereka berempat didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa serta saksi.

Dalam prosiding sama, Wan Hafizie yang juga mangsa dalam kes tersebut turut didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap Mohamad Azlan di lokasi dan masa sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau dengan denda seehingga RM1,000 atau dengan kedua-duanya.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan dan memohon untuk dibicarakan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM500.

Wan Hafizie diwakili peguam Mohd Fakhrul Fikri Mokhtar manakala tujuh lagi individu lain diwakili peguam Ahmad Adha Amir Yassir.