KUALA LUMPUR - Dua anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) yang terbabit dalam kemalangan berasingan ketika menjalankan tugas sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 baru-baru ini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kedua-dua juruiring berkenaan telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di hospital.
Iklan
Iklan
"Kedua-dua anggota berkenaan telah dibenarkan pulang dari hospital dan kini berada di rumah masing-masing," katanya pada Isnin.
Dalam kejadian pada Sabtu itu, salah seorang anggota terbabit cedera selepas motosikal dinaiki melanggar belakang sebuah kereta yang dipercayai berhenti secara mengejut di Jalan Tun Razak berhampiran susur keluar ke Jalan Kinabalu.
Kejadian berlaku ketika anggota berkenaan sedang mengiringi delegasi Brazil yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan.
Dalam kejadian berasingan sehari sebelumnya, seorang juruiring JSPT cedera selepas dirempuh sebuah pikap di Kilometer 22.3 susur keluar Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil arah utara, Lebuhraya Elite.