SEPANG – Seorang pelumba terlibat dalam kemalangan ketika perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Ahad dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) menggunakan helikopter Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Maritim Malaysia dalam kenyataannya berkata, mangsa dikenali sebagai Jose Antonio Rueda, pelumba Moto3 pasukan Red Bull KTM Ajo, yang mengalami kecederaan dan memerlukan rawatan segera selepas insiden berkenaan.
Menurut kenyataan itu, misi pemindahan perubatan (MEDEVAC) itu dilaksanakan menggunakan helikopter AS-365 N3 Dauphin dengan tanda panggilan MEDEVAC 2 (M70-01 / MAR399C) yang diatur gerak dari SIC pada jam 12.50 tengah hari menuju ke HKL.
"Helikopter dikemudi Leftenan Komander Maritim Mohd Akil Md Yussof, dibantu Leftenan Maritim Mohd Hairul Mohd Yassin serta Bintara Muda Maritim Wan Ahmad Fahmi Wan Zakaria.
"Turut serta dalam penerbangan ialah seorang doktor, paramedik dan pegawai pasukan yang mengiringi pesakit," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Jelas kenyataan itu, helikopter berkenaan selamat mendarat di HKL pada jam 1.10 petang.
"Proses pemindahan pesakit berjalan lancar hasil kerjasama petugas kesihatan hospital sebelum helikopter kembali ke SIC bagi meneruskan penugasan sempena MotoGP Malaysia 2025.
"Penglibatan aset udara dalam acara berprofil tinggi seperti MotoGP mencerminkan komitmen agensi terhadap kesiapsiagaan kecemasan nasional, selain memperkukuh imej negara dalam aspek keselamatan dan bantuan kemanusiaan di peringkat antarabangsa," katanya.