IPOH – Kerajaan negeri Perak akan memanfaatkan pemeteraian perjanjian perdagangan timbal balik antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS), khususnya dalam sektor mineral kritikal seperti nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE).
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata perjanjian yang dimeterai itu akan membuka peluang dan ruang kepada lebih ramai pelabur, khususnya dari AS, untuk melabur di negeri ini.
Menurutnya, kerajaan negeri akan bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi meneroka potensi tersebut.
"Sudah tentu ia sangat menggembirakan negeri-negeri pengeluar NR-REE kerana ia memudahkan perdagangan antarabangsa.
"Sudah tentulah kita juga inginkan lebih ramai pelabur datang ke negeri Perak," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Makmal Penyelidikan dan Pembangunan Makmal Inovasi Poly+Cal Zantat di Zantat Sdn. Bhd., Kawasan Industri Batu Kapur, Keramat Pulai, Kampung Kepayang di sini, pada Isnin.
Saarani berkata, sebelum ini melalui MIDA, Perak telah menjalinkan kerjasama perniagaan bersama syarikat di China, dan kini akan mengintai peluang perdagangan dengan AS.
Sementara itu, beliau mengulangi pendirian bahawa perlombongan mineral NR-REE di negeri ini dilaksanakan tanpa menjejaskan alam sekitar.
"Menerusi pelan Perak Sejahtera 2030, kita akan mengambil atau mengorek semua hasil bumi yang berkaitan dengan mineral tanpa menjejaskan alam sekitar.
"Pada masa yang sama, kita mempunyai kaedah pengeluaran NR-REE menggunakan in-situ leaching, dan satu lagi kaedah sedang dalam percubaan ketika ini dikenali sebagai kaedah nano. Jadi, apa pun, kita akan keluarkan hasil bumi mineral ini tanpa mengusik dan merosakkan alam sekitar," katanya lagi.
Pada Ahad, Malaysia dan AS menandatangani satu perjanjian perdagangan timbal balik yang menyeluruh bertujuan untuk memperkukuh hubungan ekonomi dua hala, memperluas akses pasaran serta mempertingkat ketahanan rantaian bekalan.
Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AS, Donald Trump, semasa pertemuan dua hala di sela Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Rumah Putih, kedua-dua kerajaan menyatakan bahawa perjanjian itu akan memberikan para pengeksport kedua-dua negara akses yang belum pernah berlaku sebelum ini ke pasaran masing-masing dan akan memperkukuh hubungan ekonomi jangka panjang antara Malaysia dan AS, termasuk Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan 2004.
Di bawah perjanjian tersebut, Malaysia bersetuju untuk memberikan akses pasaran keutamaan yang ketara kepada eksport barangan perindustrian AS, termasuk bahan kimia, jentera dan peralatan elektrik, logam serta kenderaan penumpang, selain eksport pertanian seperti tenusu, ayam dan beras.
Sementara itu, AS akan mengekalkan tarif timbal balik sebanyak 19 peratus ke atas barangan Malaysia, dengan beberapa produk tertentu menerima kadar tarif sifar di bawah senarai rakan perdagangan yang diselaraskan.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa Malaysia akan mengelakkan daripada mengenakan sekatan atau kuota terhadap eksport mineral kritikal atau unsur nadir bumi ke AS, dan akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat AS bagi mewujudkan kepastian kepada sektor perniagaan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran.